Imigresen siasat dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran pas khas

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 5:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Imigresen siasat dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran pas khas

PETALING JAYA : Siasatan akan dilakukan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL)  berhubung dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran pas khas yang dilaporkan berlaku di pejabat Imigresen Kuala Lumpur.

Pengarah JIM WPKL, Datuk Hamsha Injau berkata, pihaknya memandang serius mengenai perkara itu dan siasatan dilakukan susulan dakwaan terbabit dilaporkan oleh sebuah portal hari ini.

“Bahagian Integriti JIM WPKL akan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau peraturan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hamsha menasihatkan orang ramai untuk berurusan melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak menggunakan khidmat orang tengah yang tidak diberi kuasa.

Katanya, pihaknya komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berintegriti, telus dan profesional demi memelihara kepercayaan masyarakat terhadap jabatan.

Hari ini, sebuah portal berita melaporkan dakwaan penyalahgunaan kemudahan pas khas yang sepatutnya membantu warga asing yang berdepan hal kecemasan dan mendesak  dipercayai disalahgunakan secara sistematik untuk melanjutkan tempoh keberadaan mereka di Malaysia.

Laporan itu turut mendakwa kegiatan berkenaan melibatkan orang tengah tempatan yang menguruskan permohonan, mengumpul pasport pemohon dan menghantar gambar mereka kepada pegawai imigresen melalui aplikasi pesanan untuk pengesahan awal. –UTUSAN

The post Imigresen siasat dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran pas khas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved