liza27/10/2026 - 14:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt – Impact Capital Holdings Berhad menyasarkan kutipan sebanyak RM21.27 juta menerusi penerbitan saham baharu pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 22 sen sesaham menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
IPO itu melibatkan penerbitan 96.69 juta saham baharu serta tawaran jualan 28.62 juta saham sedia ada oleh pemegang saham penjual kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Daripada jumlah saham baharu itu, sebanyak 24 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui proses undian, 16 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak, manakala baki 56.69 juta saham ditawarkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Tawaran jualan saham sedia ada pula dijangka menjana hasil kasar kira-kira RM6.3 juta yang akan diterima sepenuhnya oleh pemegang saham penjual.
Dana IPO untuk peluasan operasi dan teknologi
Daripada hasil penerbitan saham baharu sebanyak RM21.27 juta, Impact Capital memperuntukkan RM4.67 juta atau 21.95% untuk peluasan pejabat, manakala RM4.53 juta atau 21.3% digunakan bagi penambahan tenaga kerja dan inisiatif pembangunan perniagaan.
Sebanyak RM2.1 juta atau 9.87% pula diperuntukkan untuk meningkatkan keupayaan teknologi, diikuti RM5.17 juta atau 24.31% bagi keperluan modal kerja. Baki RM4.8 juta atau 22.57% digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Bagi peluasan operasi, kumpulan merancang membuka pejabat baharu di Lembah Klang dengan keluasan kira-kira 7,700 kaki persegi yang turut menempatkan Pusat Inovasi dan Penyelesaian Digital (Digital Innovation and Solutions Centre).
Kumpulan juga merancang memindahkan operasi di Bintulu, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah dari ruang kerja bersama ke pejabat sewaan yang lebih besar dan kekal, selain membuka pejabat baharu di Johor Bahru, Johor.
Sasar tambah 60 pekerja dalam tempoh tiga tahun
Dalam usaha menyokong pengembangan perniagaan, Impact Capital merancang mengambil kira-kira 60 pekerja secara berperingkat antara 2027 hingga 2029, termasuk bagi bidang pembangunan teknologi, jualan, pembangunan perniagaan, pelaksanaan projek dan sokongan teknikal.
Kumpulan turut merancang meningkatkan aktiviti reka bentuk dan pembangunan teknologi, termasuk menggabungkan perisian asas data dan kecerdasan buatan (AI) ke dalam penawaran penyelesaiannya.
Hasil meningkat kepada RM154.7 juta pada 2026
Berdasarkan penyata kewangan gabungan teraudit dalam prospektus, hasil Impact Capital meningkat kepada RM154.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), berbanding RM145.42 juta pada FY2025.
Keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM12.64 juta pada FY2026 daripada RM9.83 juta pada FY2025, manakala keuntungan selepas cukai bertambah kepada RM9.36 juta daripada RM7.02 juta.
Sebelum itu, kumpulan merekodkan hasil RM113.18 juta, keuntungan sebelum cukai RM5.49 juta dan keuntungan selepas cukai RM4.08 juta pada FY2023. Angka tersebut meningkat kepada hasil RM160.19 juta, keuntungan sebelum cukai RM12.91 juta dan keuntungan selepas cukai RM9.35 juta pada FY2024.
Buku tempahan RM169.87 juta
Pada 30 September 2026, kumpulan mempunyai jumlah buku tempahan bernilai RM169.87 juta, merangkumi RM129.98 juta daripada projek integrasi peralatan dan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk infrastruktur kritikal, RM36.89 juta daripada perkhidmatan ICT dan lain-lain, serta RM3 juta daripada pembekalan perkakasan dan perisian ICT.
Daripada jumlah itu, RM133.74 juta dijangka diiktiraf dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, RM21.06 juta pada FY2028, RM9.27 juta pada FY2029 dan seterusnya, serta RM5.81 juta pada FY2030.
Bagaimanapun, prospektus turut menyatakan kumpulan terdedah kepada risiko kebergantungan pelanggan. Tiga pelanggan terbesarnya menyumbang 64.06% daripada jumlah hasil pada FY2026, dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) menyumbang RM63.91 juta atau 41.31% daripada hasil kumpulan.
Projek SMART 600 bersama SDEC telah mencapai tahap siap 78.34% pada 30 September 2026, dengan baki buku tempahan RM65.91 juta yang dijangka diiktiraf sehingga April 2027.
Impact Capital ditubuhkan pada 1 Julai 2024 dan kumpulannya terlibat terutamanya dalam integrasi peralatan serta sistem ICT untuk infrastruktur kritikal, selain pembekalan perkakasan, perisian dan perkhidmatan ICT.
Permohonan IPO dibuka pada 10 pagi, 27 Oktober 2026 dan ditutup pada 5 petang, 6 November 2026.
Selepas penyenaraian, modal saham terbitan kumpulan dijangka meningkat kepada 480 juta saham, dengan permodalan pasaran kira-kira RM105.60 juta berdasarkan harga IPO 22 sen sesaham. - DagangNews.com






