liza26/10/2026 - 18:31 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt – Aneka Jaringan Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aneka Jaringan Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM53.35 juta bagi kerja pembinaan dan penyiapan cerucuk gerek untuk projek pembangunan Rio City Town Centre di Petaling, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Aneka Jaringan berkata anak syarikatnya menerima surat anugerah (Letter of Award) daripada EDP Consulting Group Sdn Bhd pada 23 Oktober 2026 sebelum menerima tawaran itu secara rasmi pada 26 Oktober 2026.
Surat anugerah bertarikh 13 Oktober 2026 itu dikeluarkan oleh EDP Consulting Group bagi pihak IOI Rio Mall Sdn Bhd, IOI Hospitality Sdn Bhd dan IOI Rio Towers Sdn Bhd, yang secara bersama dirujuk sebagai pihak majikan dalam kontrak berkenaan.
Kerja cerucuk bermula Oktober 2026
Tempoh kontrak bermula pada 20 Oktober 2026 dan dijadualkan berakhir pada 19 Ogos 2027.
Aneka Jaringan menjelaskan tarikh permulaan berkenaan dipersetujui bersama pihak majikan ketika rundingan akhir kontrak bagi memastikan pelaksanaan kerja tidak mengalami kelewatan.
Dari segi kewangan, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2027 sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Bagaimanapun, kontrak berkenaan tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham Aneka Jaringan.
Syarikat turut menyatakan bahawa kontrak itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham kerana ia merupakan urusan dalam perjalanan biasa perniagaan kumpulan. - DagangNews.com






