CPE Technology beli kilang dan pejabat tiga tingkat RM14.5 juta di Johor

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 5:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CPE Technology beli kilang dan pejabat tiga tingkat RM14.5 juta di Johor Image from: CPE Technology beli kilang dan pejabat tiga tingkat RM14.5 juta di Johor liza27/10/2026 - 17:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt – CPE Technology Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Champion Precision Technology Sdn Bhd (CPT) memeterai perjanjian pembelian sebuah kilang bersama pejabat di Ulu Tiram, Johor pada harga RM14.5 juta bagi menyokong rancangan pengembangan kapasiti pengeluarannya.

 

CPE dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, CPT memeterai perjanjian jual beli dengan Logitech Engineering Solutions Sdn Bhd pada 27 Oktober 2026 bagi memperoleh hartanah berkenaan.

 

Hartanah itu terdiri daripada sebuah kilang dua tingkat bersama pejabat tiga tingkat yang terletak di 16, Jalan Indah Gemilang 5, Taman Perindustrian Gemilang, 81800 Ulu Tiram, Johor, dengan keluasan tanah kira-kira 0.4081 hektar (1.01 ekar).

 

Menurut CPE, cadangan pengambilalihan itu selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk meningkatkan keupayaan pembuatan dan perindustrian, selain memperluas kapasiti pengeluaran.

 

“Pembelian itu akan memberi peluang kepada CPT memperoleh ruang tambahan berhampiran kilang sedia ada bagi membolehkan penubuhan barisan pengeluaran tambahan atau baharu pada masa hadapan,” katanya.

 

CPT terlibat dalam pembuatan komponen dan alat ganti berketepatan tinggi menggunakan teknologi pemutaran dan pengisaran kawalan berangka komputer (CNC), selain menyediakan perkhidmatan mesin menggunakan teknologi berkenaan.

 

Dibiayai menggunakan hasil IPO

CPE berkata, pembelian hartanah berkenaan akan dibiayai menggunakan hasil yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Kumpulan itu tidak menjangkakan pengambilalihan berkenaan memberi kesan material terhadap keuntungan dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

 

Urus niaga dijangka selesai pada tahun kewangan 2027

CPE menyatakan harga pembelian RM14.5 juta itu ditentukan berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual yang bersetuju, dengan mengambil kira rasional dan prospek hartanah serta anggaran purata nilai pasaran hartanah sebanding di kawasan berkenaan.

 

Nisbah peratusan tertinggi bagi pengambilalihan itu ialah 4.3%, berdasarkan penyata kewangan disatukan teraudit terkini kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. Urus niaga itu dijangka selesai pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 2027, tertakluk kepada tiada keadaan tidak dijangka. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved