Impact Capital sasar penyenaraian di Pasaran ACE, rancang buka pejabat baharu dan ambil 60 kakitangan

LocalBusiness & Finance
12 Jan 2026 • 10:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Impact Capital sasar penyenaraian di Pasaran ACE, rancang buka pejabat baharu dan ambil 60 kakitangan image is not available haziq12/01/2026 - 10:51 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Jan – Impact Capital Holdings Bhd, syarikat peralatan dan sistem teknologi berpangkalan Sarawak, memfailkan draf prospektus untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana bagi tujuan pengembangan operasi dan keperluan modal kerja.

 

Menurut draf prospektus tawaran awam permulaan (IPO) itu, Impact Capital merancang untuk memperluaskan operasinya dengan menubuhkan pejabat baharu di Semenanjung Malaysia serta di Malaysia Timur, sejajar dengan strategi memperkukuh kehadiran pasaran domestik.

 

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, syarikat turut merancang untuk mengambil 60 kakitangan baharu, merangkumi jurutera, wakil jualan dan pengurus projek.

 

“Fokus akan diberikan kepada pengambilan tenaga profesional mahir yang mempunyai kepakaran teknikal dan pengetahuan industri yang diperlukan untuk menyokong serta mengekalkan operasi kumpulan,” kata Impact Capital.

 

Impact Capital terlibat terutamanya dalam integrasi peralatan dan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi infrastruktur kritikal termasuk infrastruktur telekomunikasi, rangkaian perusahaan, pusat data dan sistem keselamatan.

 

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai pelanggan merangkumi agensi kerajaan, utiliti, penyedia perkhidmatan kewangan dan pedagang, syarikat teknologi internet serta pelanggan korporat lain.

 

Bagi tempoh 12 bulan berakhir Jun 2025, Impact Capital mencatatkan keuntungan bersih RM7 juta dengan hasil sebanyak RM145 juta. 

 

Hampir keseluruhan hasil kumpulan dalam tempoh kebelakangan ini dijana dari pasaran Malaysia, manakala sumbangan pendapatan antarabangsa adalah minimum.

 

Sebahagian daripada hasil IPO turut diperuntukkan bagi penubuhan pusat inovasi dan penyelesaian digital, yang akan berfungsi sebagai pusat demonstrasi dan ujian teknologi. 

 

Baki dana pula akan digunakan sebagai modal kerja, perbelanjaan pemasaran serta bagi menampung kos penyenaraian.

 

Pengasas bersama syarikat, Winston Chai Fung Chun dan Kok Teck Kuan, turut menawarkan sebahagian kecil saham sedia ada mereka untuk dijual dalam IPO tersebut. 

 

Selepas penyenaraian, mereka akan menguasai secara bersama 65% pegangan dalam Impact Capital bersama seorang lagi pengasas bersama, Chyr Ye Hong.

 

Public Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard