liza08/01/2026 - 17:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Jan – EGH International Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia melalui tawaran awam permulaan (IPO) yang melibatkan penerbitan 240 juta saham baharu.
Penyedia perkhidmatan hiasan dalaman serta jualan perabot, kelengkapan dan bahan binaan itu berkata hasil daripada IPO akan digunakan untuk membina ibu pejabat dan gudang baharu, membayar balik pinjaman serta menampung modal kerja am.
Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, EGH International turut merancang membina sebuah bangunan industri lima tingkat di atas tanah seluas 2.67 ekar di Puchong, Selangor, dengan anggaran keluasan binaan kasar 130,000 kaki persegi.
Bangunan baharu itu akan menempatkan ibu pejabat, gudang serta ruang pameran syarikat, sekali gus meningkatkan kapasiti pentadbiran, storan gudang dan ruang pameran peruncitan.
Berjaya Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penaja bagi IPO tersebut. - DagangNews.com
