IPO SBS Nexus terlebih langganan 22.28 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
9 Jan 2026 • 5:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO SBS Nexus terlebih langganan 22.28 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE image is not available liza09/01/2026 - 17:45 Gambar Facebook SBS Group Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Jan – Tawaran awam permulaan (IPO) SBS Nexus Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 22.28 kali.

 

Kumpulan itu menerima sebanyak 5,579 permohonan daripada orang ramai untuk 570,279,800 saham baharu bernilai RM142.6 juta. 

 

Saham yang diperuntukkan kepada orang ramai adalah 24,500,000 unit sahaja, menjadikan kadar terlebih langganan ialah 22.28 kali. 

 

Untuk bahagian Bumiputera pula, sebanyak 3,018 permohonan diterima untuk 298,635,900 saham baharu, mewakili kadar terlebih langgan 23.38 kali manakala bahagian awam menerima 2,561 permohonan untuk 271,643,900 saham baharu dengan kadar langganan 21.18 kali.

 

Bagi pemohon yang layak, sebanyak 17,150,000 saham baharu telah habis dilanggan manakala semua 61,250,000 saham sedia ada yang diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI turut habis dilanggan sepenuhnya.

 

Selain itu, sebanyak 68,600,000 saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian turut habis dilanggan.

 

Mengenai asas peruntukan, sebanyak 12,250,000 saham baharu diagihkan kepada 1,362 pemohon Bumiputera awam dan 12,250,000 saham kepada 1,656 pemohon awam lain. 

 

Peratusan kejayaan permohonan bagi setiap julat saham antara 37% hingga 100% bergantung pada jumlah saham yang dimohon.

 

Tiada pelabur yang menjadi pemegang saham besar (substantial shareholder) hasil penyenaraian ini.

 

Sambutan memberangsangkan itu mencerminkan minat tinggi pelabur terhadap SBS Nexus di pasaran modal Malaysia.

 

M&A Securities Sdn Bhd dilantik oleh SBS Nexus pada 25 November 2025 untuk berperanan sebagai penasihat tunggal, penaja, penjamin dan ejen penempatan IPO berkenaan - DagangNews.com

Terkini standard