Impak ekonomi UTMB Taiping cecah RM28 juta

LocalBusiness & Finance
13 Sep 2026 • 12:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Impak ekonomi UTMB Taiping cecah RM28 juta

TAIPING: Penganjuran Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 di Taiping dianggarkan menjana impak ekonomi langsung antara RM14 juta hingga RM18 juta setahun, malah nilainya boleh mencecah RM28 juta apabila mengambil kira aspek penyiaran dan pengiklanan.

Pengerusi Malaysia Ultra-Trail by UTMB, Ewegene Tan berkata, anggaran itu berdasarkan data penganjuran sejak 2024 dan rekod edisi terdahulu yang menunjukkan acara berkenaan konsisten memberi impak ekonomi kepada Taiping.

Katanya, edisi tahun ini turut dianggap berjaya berdasarkan sambutan orang ramai, tahap keselamatan peserta dan kadar penamat melebihi 90 peratus bagi semua kategori.

“Alhamdulillah, kadar penamat ketika ini melebihi 90 peratus. Ini antara ukuran kejayaan utama kami kerana kejayaan sesuatu perlumbaan ditentukan oleh jumlah peserta yang berjaya menamatkan saingan,” katanya sebelum Majlis Penyampaian Hadiah Final di Dataran Warisan, di sini hari ini. Acara berlangsung selama tiga hari itu berakhir hari ini.

Tan berkata, kadar penamat muktamad belum dapat ditentukan kerana kira-kira 17 peserta kategori 100 kilometer yang masih dalam perjalanan pulang dari Bukit Larut.

Ewegene berkata, aspek keselamatan peserta juga berada pada tahap baik apabila hanya seorang peserta dimasukkan ke hospital akibat keletihan haba sepanjang acara tahun ini.

Katanya, kes lain hanya membabitkan masalah ringan termasuk kekejangan otot dan gangguan gastrousus.

Beliau berkata, peserta antarabangsa turut memberikan maklum balas positif dan menyifatkan penganjuran tahun ini mencapai tahap tinggi serta memenuhi standard ditetapkan.

Katanya, beberapa penambahbaikan sedang dibincangkan untuk tahun depan termasuk meningkatkan tahap kesukaran laluan Route 25 sepanjang kira-kira 13 kilometer dan menambah satu kategori baharu.

Dalam pada itu, Ewegene menyifatkan kejayaan pelari Malaysia, Michelle yang muncul naib juara MY50 sebagai detik membanggakan apabila pencapaian itu melayakkannya ke World Finals.

Beliau berharap sokongan masyarakat Taiping, pihak berkepentingan dan penaja diteruskan bagi membolehkan acara itu diperbesar, termasuk kemungkinan menutup lebih banyak jalan dengan kelulusan pihak berkuasa. – UTUSAN

The post Impak ekonomi UTMB Taiping cecah RM28 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved