Peserta negara muncul naib juara Larian Denai UTMB

12 Sep 2026 • 2:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peserta negara muncul naib juara Larian Denai UTMB

TAIPING: Kecederaan buku lali seminggu sebelum perlumbaan tidak menghalang peserta negara, Michelle Ng Qian Ying, 28, muncul naib juara kategori wanita MY50 acara larian denai, Malaysia Ultra-Trail by UTMB (UTMB) Taiping hari ini.

Michelle, yang bersaing dalam acara 50 kilometer menamatkan perlumbaan dengan catatan 7 jam 29 minit 38 saat untuk menduduki tempat kedua daripada 162 peserta kategori berkenaan.

Pelari China, Wang Da Yu muncul juara dengan catatan 6 jam 23 minit 53 saat, manakala Li Sham Ming dari Hong Kong melengkapkan podium di tempat ketiga selepas mencatat masa 7 jam 33 minit 56 saat.

Michelle mengakui tidak menjangkakan dia mampu menaiki podium selepas melihat barisan pelari elit antarabangsa yang bersaing dalam acara berkenaan.

Michelle berkata, kecederaan buku lali yang dialaminya pada minggu lalu turut menjejaskan pergerakannya, terutama ketika melalui laluan menuruni bukit.

“Saya sebenarnya tidak menjangkakannya kerana malam sebelum perlumbaan saya melihat pengenalan atlet elit dan mereka mempunyai mata UTMB yang sangat tinggi.

“Jadi saya berlumba secara konservatif kerana minggu lalu saya baru mengalami kecederaan buku lali. Ketika menuruni bukit, saya agak tidak stabil, jadi saya memperlahankan larian dan apabila sampai di laluan landai, saya cuba meningkatkan kelajuan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak terlalu memikirkan kedudukan pelari lain sepanjang perlumbaan, sebaliknya memilih untuk mengikut rentak sendiri bagi memastikan tenaga dapat diurus dengan baik sehingga ke garisan penamat.

“Biasanya apabila saya berlari dalam perlumbaan denai, ia adalah saya menentang diri sendiri. Saya cuba memperbaiki catatan masa sendiri dan mengikut rentak saya.

“Kalau saya terlalu memaksa diri, keadaan boleh menjadi lebih teruk dan kecederaan mungkin berulang,” katanya.

Michelle berkata, kejayaan itu memberikan kepuasan berbeza kerana MY50 kali ini menghimpunkan barisan pelari dari pelbagai negara.

Dalam pada itu, Michelle yang sudah aktif dalam larian denai selama kira-kira tiga hingga empat tahun berkata, aspek menuruni bukit menjadi antara perkara yang mahu diperbaikinya selepas ini.

“Saya rasa kalau saya boleh menuruni bukit dengan lebih pantas, saya boleh menjimatkan banyak masa,” katanya. – UTUSAN

 

The post Peserta negara muncul naib juara Larian Denai UTMB appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved