
TAIPING – Air mata Yutaro Yokouchi tumpah sebaik melintasi garisan penamat selepas berlari sejauh 100 kilometer, sekali gus muncul juara MY100 Malaysia Ultra-Trail by UTMB (UTMB) 2026 menjadi penebusan terhadap kegagalan di Thailand, Mei lalu.
Pelari denai Jepun berusia 33 tahun itu mencatat masa 12 jam 18 minit 44 saat untuk muncul juara daripada 193 peserta kategori lelaki MY100, sekali gus mengembalikan keyakinannya selepas gagal menamatkan perlumbaan UTMB World Series di Thailand.
Yutaro berkata, kegagalan tersebut menyebabkan beliau sukar mempercayai kemampuan diri sendiri selama beberapa bulan sebelum kejayaan di Taiping menjadi titik kebangkitan semula dalam kariernya.
“Pada Mei lalu, saya tidak menamatkan perlumbaan UTMB World Series di Thailand dan selepas itu saya sukar untuk mempercayai diri sendiri selama beberapa bulan.
“Akhirnya di Taiping saya berjaya menang semula dan air mata ini adalah bukti kepada kejayaan saya menebus kegagalan di Thailand,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan larian di Dataran Warisan, di sini.
Pelari kelahiran Kobe yang kini menetap di Tokyo itu berkata, pada awal perlumbaan beliau menyasarkan catatan bawah 12 jam dan masih mengikut perancangan sehingga kira-kira 20 kilometer terakhir sebelum pendakian terakhir menyebabkan beliau ketinggalan 15 minit daripada sasaran.
Mengulas laluan MY100, Yutaro mengakui pendakian terakhir menjadi cabaran paling getir selain laluan menuruni bukit yang menggunakan permukaan konkrit, malah beliau terpaksa berhenti pada beberapa ketika ketika mendaki.
Katanya, beliau mampu berlari kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan laluan dan menyifatkan laluan Taiping sebagai menarik walaupun mengakui pendakian pada permulaan serta penghujung perlumbaan amat mencabar.
Kemenangan itu merupakan kejayaan kedua Yutaro dalam UTMB World Series selepas menjuarai kategori 50 kilometer di Thailand tahun lalu, namun gelaran di Taiping adalah kemenangan pertamanya bagi jarak 100 kilometer.
Yutaro berkata, beliau kini mahu meningkatkan kemampuan untuk saingan lebih jauh dengan merancang mencuba perlumbaan 100 batu tahun depan, selain menyimpan impian terbesar untuk menamatkan perlumbaan dan menaiki podium Western States.
Tempat kedua MY100 lelaki dimenangi Duyakar Bahar Duu dari Vietnam dengan catatan 13 jam 40 minit 19 saat, manakala Hiroyuki Kawachi dari Jepun di tempat ketiga dengan masa 14 jam 09 minit 47 saat. – KOSMO! ONLINE
The post MUT by UTMB: Yutaro tebus kekecewaan, muncul juara 100km appeared first on Kosmo Online.

