Impak KLFW 2026 melangkaui industri fesyen

9 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Impak KLFW 2026 melangkaui industri fesyen

BUKAN sekadar acara memperagakan koleksi busana baharu, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) telah berkembang menjadi platform strategik yang memberi impak besar kepada pembangunan industri fesyen negara.

Memasuki edisi ke-14, KLFW 2026 yang berlangsung di Esplanade, Taman Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) minggu ini membuktikan bahawa fesyen mampu menjadi pemacu ekonomi kreatif, mengangkat jenama tempatan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi fesyen serantau.

Bertemakan Destinasi: Tanah Air (Destination: Home Ground), KLFW 2026 mengetengahkan lebih 50 pereka dan jenama tempatan yang meraikan identiti Malaysia melalui sentuhan moden dan kontemporari.

Menurut Pengasas KLFW, Andrew Tan, tema tahun ini membawa fesyen Malaysia kembali kepada akar budayanya sambil memacu industri ke arah masa depan yang lebih progresif.

“KLFW adalah lebih daripada siri pertunjukan fesyen. Ia merupakan satu pengalaman komuniti yang menyatukan pencinta fesyen, pencetus trend dan segenap pengunjung untuk berhimpun dan menyaksikan sendiri semangat, kreativiti dan bakat tempatan yang dizahirkan dalam setiap rekaan terhasil.

“Tema tersebut bukan sahaja menonjolkan keindahan warisan tempatan, malah memperlihatkan bagaimana elemen budaya boleh diterjemahkan menjadi produk kreatif yang mempunyai nilai komersial tinggi serta berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran KLFW 2026.

Image from: Impak KLFW 2026 melangkaui industri fesyen
KLFW 2026 turut menggunakan pendekatan kontemporari dalam mengolah tekstil atau seni warisan.

Tambahnya, salah satu impak paling ketara KLFW ialah menyediakan platform kepada pereka fesyen baharu untuk memperkenalkan karya mereka kepada pemain industri, pembeli, media dan pengguna.

Tahun ini menyaksikan kemunculan beberapa label baharu seperti PLAZÄ, NanaLyana, Asyraf Arrif, inisaya by Jeffery Goh, 99%ANGEL, CDH dan EMRI, sekali gus membuka peluang kepada bakat muda membina rangkaian profesional serta mengembangkan perniagaan mereka.

Pada masa sama, kehadiran nama besar seperti Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Fiziwoo dan Sharifah Kirana mencipta keseimbangan antara pengalaman dan bakat baharu yang menjadi asas kepada pertumbuhan industri yang lebih mampan.

Image from: Impak KLFW 2026 melangkaui industri fesyen
ANDREW TAN

Selain menjadi platform promosi, KLFW turut merangsang inovasi dalam penghasilan koleksi fesyen.

“Tahun ini, kolaborasi antara studio budaya material MUNI dan pereka Jeff Yeong membuktikan bahawa warisan tekstil serta seni tradisional boleh diolah menggunakan pendekatan kontemporari tanpa menghilangkan identiti asal.

“Penampilan sulung perusahaan sosial Tanoti pula memperlihatkan bagaimana hasil kraf tangan komuniti mampu diketengahkan ke pentas fesyen berprestij, sekali gus memberi nilai tambah kepada industri kreatif tempatan,” ujar Andrew.

Image from: Impak KLFW 2026 melangkaui industri fesyen
KLFW 2026 menjadi platform ekspresi kreatif Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Usaha memperkasa warisan negara turut diperkukuh menerusi segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang dianjurkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sebanyak 30 rekaan eksklusif batik dari Malaysia Timur dan Barat dipersembahkan oleh 10 pereka tempatan, membuktikan batik bukan sekadar pakaian tradisional tetapi mempunyai potensi besar sebagai produk fesyen moden yang mampu bersaing di peringkat global.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerjasama strategik bersama KLFW 2026 merupakan platform penting dalam memperkasa promosi produk tempatan.

“Inisiatif itu selaras dengan gerakan Jom Malaysia yang bertujuan memartabat jenama tempatan menerusi acara fesyen bertaraf antarabangsa yang menjadi tumpuan pemain industri, pelancong dan media dari dalam serta luar negara.

“Impak KLFW juga melangkaui industri fesyen semata-mata apabila memberi kesan positif kepada sektor pelancongan, peruncitan dan ekonomi bandar. Penganjuran bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati pengalaman fesyen, membeli-belah dan menyertai pelbagai aktiviti interaktif di Suria KLCC,” kongsinya.

Tidak kurang penting, KLFW memperlihatkan bagaimana kerjasama antara sektor awam dan swasta mampu memperkukuhkan ekosistem industri kreatif. Sokongan KPDN, KLCC (Holdings), Suria KLCC serta pelbagai penaja korporat membuktikan pembangunan industri fesyen memerlukan kolaborasi menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn. Bhd., Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, KLFW terus menjadi peneraju dalam memperkasa bakat kreatif Malaysia.

Pandangan itu turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn. Bhd., Francis Tan yang menyifatkan KLFW sebagai medium penting untuk memupuk ekosistem yang menyokong perkembangan bakat tempatan serta mengangkat inovasi rekaan dan ekspresi kreatif Malaysia ke tahap lebih tinggi.

The post Impak KLFW 2026 melangkaui industri fesyen appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved