
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkasa penggunaan serta pembelian produk tempatan menerusi kerjasama strategik bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 yang menjadi platform mempromosikan jenama dan pereka fesyen tempatan ke peringkat lebih luas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) yang menjadi strategi transformasi Kempen Beli Barangan Malaysia.
Menurut beliau, objektif utama gerakan itu adalah menggalakkan rakyat mengutamakan produk tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh daya saing industri dan usahawan tempatan di pasaran domestik serta antarabangsa.
Katanya, KLFW 2026 yang berlangsung di Esplanade KLCC dari Isnin lalu hingga Ahad ini menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan dengan kira-kira 800 rekaan kreatif sepanjang tujuh hari penganjuran.
“Menerusi kerjasama strategik ini yang melibatkan 28 segmen, salah satu segmen yang ditampilkan khusus buat kali pertama adalah Fashion Forward Batik Malaysia.
“Segmen ini menampilkan 10 pereka fesyen tempatan dengan 30 rekaan batik kontemporari menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya hari ini.
Armizan berkata, perkembangan industri budaya dan kreatif negara turut membuktikan potensi besar sektor berkenaan apabila Laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 merekodkan sumbangan sebanyak RM130.7 bilion, bersamaan 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Beliau berkata, berdasarkan pencapaian KLFW 2025 yang merekodkan nilai publisiti (media value) mencecah USD32 juta, kerjasama strategik kali ini dijangka mampu memperluaskan capaian pasaran batik Malaysia di peringkat domestik dan global.
Tambah beliau, usaha itu selaras dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang diputuskan Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bagi memperkukuh promosi, meningkatkan jualan domestik dan eksport produk tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Melalui JOM MALAYSIA, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama bersama pemain industri, sektor swasta dan rakan strategik bagi memperkukuh ekosistem dalam memastikan produk Malaysia lebih mampan dan berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post KPDN perkasa produk tempatan menerusi KLFW 2026 appeared first on Kosmo Digital.






