Impak positif Bersama, laluan berliku buat Reset

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 7:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Impak positif Bersama, laluan berliku buat Reset
Kejayaan awal itu tidak boleh dipisahkan daripada pengaruh dua tokoh utamanya, Rafizi dan Nik Nazmi. Foto Bernama

PENUBUHAN parti politik baharu bukan asing dalam landskap politik negara. Namun, tidak semua parti mampu mencipta momentum yang meyakinkan sebaik sahaja dilancarkan.

Dalam konteks semasa, Parti Bersama Malaysia (Bersama) dilihat berjaya mencuri perhatian apabila dalam tempoh singkat berjaya menarik puluhan ribu ahli baharu, termasuk kelompok pengundi atas pagar yang selama ini menjauhkan diri daripada politik.

Kejayaan awal itu tidak boleh dipisahkan daripada pengaruh dua tokoh utamanya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad. Kedua-duanya membawa imej reformis, berpengalaman dalam pentadbiran selain capaian kuat dalam kalangan pengundi bandar, profesional muda dan kelas pertengahan.

Lebih penting, kemunculan Bersama berlaku ketika sebahagian rakyat mula menunjukkan keletihan terhadap pertikaian politik tradisional dan mencari wadah baharu lebih segar serta berteraskan isu.

Walaupun masih terlalu awal untuk mengukur kekuatan sebenar Bersama di medan pilihan raya, momentum awal dibina memberi petunjuk parti itu berjaya mengisi ruang politik yang sebelum ini kurang diterokai secara berkesan.

Situasi berbeza dihadapi Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi gerakan Reset. Bekas Menteri Dalam Negeri itu berpengalaman luas, jaringan akar umbi kukuh serta pengaruh dalam politik Melayu. Namun, laluan perlu ditempuh jauh lebih berliku.

Ini kerana beliau beroperasi dalam ekosistem politik yang sudah sesak dengan persaingan parti Melayu, khususnya ketika Pas semakin dominan dalam Perikatan Nasional (PN). Pertikaian terbuka antara pimpinan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menambahkan ketidaktentuan terhadap ruang politik yang cuba diterokai Reset.

Buat masa ini, Reset masih menunggu masa paling sesuai untuk diterjemahkan menjadi sebuah parti politik yang mampu menawarkan naratif berbeza.

Hakikatnya, kedua-dua tokoh berdepan cabaran berbeza. Rafizi berusaha mengekalkan momentum tercipta manakala Hamzah pula perlu mencari ruang strategik sebelum melangkah lebih jauh.

Masa akan membuktikan sama ada Bersama berkembang sebagai kuasa politik baharu atau sementara dan sama ada Reset akhirnya berjaya keluar daripada bayang-bayang percaturan politik sedia ada.