Impian Nik Haziera jadi atlet para lawan pedang akhirnya tercapai

4 Aug 2026 • 6:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Impian Nik Haziera jadi atlet para lawan pedang akhirnya tercapai
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (lima, kanan) bergambar bersama Nik Haziera (empat, kanan), keluarga serta pegawai MSN ketika kunjungan beliau ke kediaman atlet para itu.
Image from: Impian Nik Haziera jadi atlet para lawan pedang akhirnya tercapai
Dr Mohammed Taufiq menyampaikan peralatan sukan lawan pedang kepada Nik Haziera.
Image from: Impian Nik Haziera jadi atlet para lawan pedang akhirnya tercapai
Dr Mohammed Taufiq berbincang bersama Nik Haziera.
Image from: Impian Nik Haziera jadi atlet para lawan pedang akhirnya tercapai
Nik Haziera bersama keluarga sempat berswafoto bersama Dr Mohammed Taufiq.

TEMERLOH – Impian atlet para lawan pedang negara, Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi untuk mengembangkan bakat dalam arena sukan akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau secara rasmi dipilih sebagai Atlet Program Latihan Pelapis Kebangsaan.

Perkembangan itu diumumkan ketika kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ke kediaman atlet berusia 18 tahun itu di Temerloh baru-baru ini bagi menyampaikan sendiri kontrak lantikannya selain memberikan kata-kata semangat kepada beliau dan keluarga.

Pelantikan tersebut membuka lembaran baharu buat Nik Haziera yang sebelum ini mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila kisah ketabahannya bangkit daripada tragedi kemalangan sehingga kehilangan kaki kanan menjadi inspirasi ramai.

**media[3605233]**

Dalam kunjungan berkenaan, Dr Mohammed Taufiq turut memaklumkan bahawa Nik Haziera akan mengikuti pakej latihan sepenuh masa sebagai persediaan mempertingkatkan prestasi dan mengembangkan potensinya di peringkat lebih tinggi.

Pelantikan Nik Haziera sebagai Atlet Pelapis Kebangsaan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja berkaitan pada 27 April lalu, manakala sukan para lawan pedang turut diputuskan menjalani latihan secara sepenuh masa mulai tahun ini susulan pencapaian memberangsangkan di Sukan Para ASEAN sebelum ini.

**media[3605231]**

Malah, beliau juga telah menyertai Kem Fasa 1 Sukan Para ASEAN 2027 yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan sebagai persediaan awal menghadapi temasya dwitahunan itu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Nik Haziera menyimpan impian untuk bergelar atlet negara walaupun dalam masa sama membantu kakaknya, Nik Haznita mengusahakan perniagaan cendol bagi menampung kehidupan keluarga selepas kedua-dua mereka kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya.

Kisah kecekalan dua beradik itu mengundang perhatian ramai apabila mereka memilih untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan berniaga cendol demi membantu meringankan beban keluarga, sambil Nik Haziera terus mengejar cita-citanya dalam sukan para lawan pedang.

**media[3605234]**

Kunjungan Menteri Belia dan Sukan itu sekali gus menjadi simbol sokongan kerajaan terhadap pembangunan atlet para serta membuktikan bahawa kesungguhan dan semangat juang mampu membuka ruang kepada atlet berpotensi untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Sofian Hamzah dan Pengarah Bahagian Para MSN, Shukri Harun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved