Pekerja bengkel raih RM7,000 selepas lapan tahun buru gelaran juara

2 Aug 2026 • 9:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pekerja bengkel raih RM7,000 selepas lapan tahun buru gelaran juara
Amran (dua dari kanan) bergambar bersama para pemenang Pertandingan Memancing Sempena Bulan Kemerdekaan 2026 di Pantai Teluk Kerang.
Image from: Pekerja bengkel raih RM7,000 selepas lapan tahun buru gelaran juara
Sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Memancing Sempena Bulan Kemerdekaan 2026 di Pantai Teluk Kerang.

PONTIAN – Penantian lebih lapan tahun untuk bergelar juara pertandingan memancing akhirnya berbaloi buat seorang pekerja bengkel apabila muncul pemenang Pertandingan Memancing Sempena Bulan Kemerdekaan 2026 di Pantai Teluk Kerang, di sini pada Ahad.

Mohammad Norhaizam Karin, 31, dari Batu Pahat, Johor, berjaya menaikkan ikan belukang seberat 1.326 kilogram (kg) pada jam 11.38 pagi sekali gus menewaskan lebih 400 peserta lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.

Naib juara menjadi milik Mohd Afzan Mohd Fadil, 16, yang menaikkan ikan malong seberat 0.931kg dan menerima RM1,000, manakala tempat ketiga disandang Mohd Faizul Zamzani, 28, menerusi tangkapan ikan semilang seberat 0.905kg yang melayakkannya membawa pulang RM500.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Teluk Kerang, Amran Abdul Jalil.

**media[3603530]**

Norhaizam berkata, kemenangan itu amat bermakna selepas lebih lapan tahun aktif menyertai pelbagai pertandingan memancing di seluruh negara.

Menurutnya, dia yang hadir bersama lima rakan berjaya menaikkan empat ekor ikan, namun hanya seekor berjaya melayakkannya berada dalam senarai pemenang.

“Alhamdulillah, ini kemenangan pertama dalam sejarah hidup saya dan pastinya cukup bermakna.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu. Tanpa mereka, mungkin saya berdepan kesukaran untuk menaikkan ikan kerana tali berselirat berikutan ruang memancing yang terhad selain jumlah peserta yang ramai,” katanya.

Sementara itu, Amran berkata, penganjuran pertandingan memancing di Pantai Teluk Kerang mampu merancakkan sektor pelancongan dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak program seumpama itu diadakan di kawasan berkenaan pada masa hadapan.

“Saya berterima kasih kepada penganjur kerana memilih Pantai Teluk Kerang sebagai lokasi pertandingan.

“Program seperti ini bukan sahaja membantu mempromosikan Pantai Teluk Kerang sebagai destinasi rekreasi, malah memberi manfaat kepada peniaga tempatan apabila lebih ramai pengunjung hadir.

“Saya sentiasa menyokong penganjuran program seperti ini di kampung kami,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved