
MENURUT laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), penyebaran maklumat palsu yang dipacu kecerdasan buatan (AI) kini dianggap antara risiko global terbesar kepada kestabilan sosial dan politik dunia.
Banyak negara menyaksikan peningkatan mendadak penggunaan kandungan digital yang dimanipulasi semasa musim pilihan raya, menyebabkan rakyat keliru untuk membezakan antara fakta dengan propaganda politik.
Di Malaysia, kadar penggunaan media sosial adalah antara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara. Data daripada laporan Digital 2026 menunjukkan majoriti rakyat Malaysia menggunakan platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan WhatsApp sebagai sumber utama mendapatkan maklumat harian.
Realiti ini menjadikan media sosial sebagai medan tempur utama kempen politik pilihan raya negeri (PRN), sama ada untuk penyebaran maklumat yang sahih mahupun yang meragukan.
Apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan psikologi manusia sendiri yang lebih mudah berkongsi kandungan yang menyentuh emosi seperti kemarahan, ketakutan atau kejutan tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
Apabila kandungan palsu yang dihasilkan AI disebarkan secara tular, ia dengan pantas membentuk persepsi yang salah dalam kalangan pengundi. Dalam sesetengah keadaan, naratif palsu boleh menjadi lebih berpengaruh daripada fakta yang sebenar.
Namun hakikatnya, AI boleh digunakan untuk menyemak fakta dengan lebih cepat, mengenal pasti akaun bot palsu, mengesan algoritma kandungan meragukan dan memantau rantaian penyebaran berita palsu secara lebih makro.
Menghadapi musim PRN ini, sebelum menekan butang ‘kongsi’, amalkan formula ini:
– Sahkan sumber asal : Pastikan maklumat datang daripada akaun rasmi calon, parti, atau agensi berita yang mempunyai kredibiliti.
– Buat perbandingan silang: Bandingkan kandungan tersebut dengan laporan daripada media arus perdana yang dipercayai.
– Nilai unsur emosi: Berwaspada jika kandungan tersebut ditulis dengan nada yang terlalu sensasi atau bertujuan membangkitkan kebencian kaum dan agama.
– Gunakan platform semakan fakta: Manfaatkan platform seperti Sebenarnya.my atau inisiatif semakan fakta bebas tempatan yang lain.
Sebagai generasi celik digital yang paling aktif di alam maya, mereka bukan sekadar pengguna, malah merupakan ejen penyebar maklumat dalam kumpulan WhatsApp keluarga atau rakan sekampung.
Literasi digital perlu diperkukuhkan agar mereka mampu menilai kesahihan sesuatu kandungan sebelum membuat keputusan politik di peti undi atau menularkannya kepada orang lain.
Institusi pendidikan juga memikul tanggungjawab besar dalam menerapkan etika penggunaan AI dan kemahiran pemikiran kritikal. Pendedahan awal mengenai keselamatan siber dan literasi media boleh membantu melahirkan masyarakat yang celik digital.
Syarikat gergasi teknologi dan platform media sosial perlu mempertingkatkan usaha mengetatkan algoritma mereka bagi membendung kandungan palsu yang dihasilkan oleh AI sepanjang tempoh berkempen.
Setiap undi seharusnya dibuat berdasarkan fakta yang tepat dan pertimbangan yang rasional, bukannya dipengaruhi oleh kandungan manipulasi yang direka untuk mengelirukan. Kebijaksanaan rasa dan akal manusia tetap menjadi benteng utama dalam membezakan kebenaran daripada kepalsuan.
Menjelang hari pengundian, marilah kita menjadi rakyat yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga celik maklumat. Teknologi mungkin semakin pintar, tetapi tanggungjawab untuk menilai tetap terletak di tangan kita semua.-UTUSAN
AIDA MUHAMAD
Pusat Pengajian Diploma,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
The post Risiko maklumat palsu dalam pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.






