SHAH ALAM – Individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan sebelum ini telah dituduh di mahkamah pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa individu tersebut dituduh pada hari ini berhubung kes berkenaan.
"Justeru, saya mohon rakan-rakan media mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak mahkamah selepas proses pertuduhan selesai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Menurutnya, suspek telah ditahan sejak beberapa hari lalu di Selangor sebelum tindakan lanjut diambil.
"Suspek ditahan di Selangor dan pertuduhan juga akan dijalankan di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan dan direman selama empat hari sehingga 28 April untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa identitinya terus digunakan untuk urusan hutang oleh suspek yang juga bekas suaminya tanpa pengetahuan.
Dalam pada itu, kes penipuan melibatkan individu terbabit turut mendapat perhatian selepas pendedahan tular di media sosial.
Menerusi hantaran tersebut, suspek didakwa pernah terlibat dalam kegiatan penipuan sebelum ini, sebelum kembali aktif menggunakan identiti dan nama agensi berbeza.






