Istilah kerajaan minoriti di Negeri Sembilan tidak sah – Pakar perlembagaan

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Istilah kerajaan minoriti di Negeri Sembilan tidak sah – Pakar perlembagaan
Antara laporan Sinar Harian mengenai kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan. Gambar kecil: Wan Ahmad Fauzi

SHAH ALAM – Dakwaan wujud kerajaan minoriti di Negeri Sembilan ketika ini adalah tidak berperlembagaan apatah lagi 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mempunyai sokongan daripada lima ADUN Perikatan Nasional (PN) untuk mengusulkan calon Menteri Besar yang baharu.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ia sekali gus menjadikan kelompok ADUN BN dan PN tersebut memiliki majoriti mudah dengan 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau menegaskan, istilah kerajaan minoriti tidak wujud dalam mana-mana peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) dan tidak boleh dijadikan asas untuk menentukan keabsahan sesebuah kerajaan negeri.

“Tidak sah dan bercanggah. Istilah kerajaan minoriti itu tidak ada dalam perlembagaan negeri. Perkara yang penting ialah sama ada Menteri Besar masih mendapat kepercayaan majoriti ADUN atau tidak.

“Menteri Besar juga tidak wajar menjadi hakim dengan mencipta istilah politik untuk menghalalkan sesuatu yang bercanggah dengan peruntukan UUTKNS,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Aminuddin pada Isnin menegaskan beliau tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun kerajaan pimpinannya kini berstatus minoriti selepas 14 ADUN BN menarik sokongan.

Beliau sebaliknya mencabar pihak lawan membawa usul undi tidak percaya di DUN bagi menguji kedudukan 17 kerusi Pakatan Harapan (PH) yang kini berdepan blok 14 BN dan lima PN.

Bagaimanapun UMNO dan BN Negeri Sembilan memaklumkan sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas sokongan dinyatakan lima ADUN PN sebelum ini.

Mengulas lanjut, Pengasas Jurisprudens Watan dan Pensyarah Kanan ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menjelaskan, penentuan sama ada seseorang Menteri Besar masih mempunyai kepercayaan majoriti ADUN perlu dibuat berdasarkan peruntukan yang ditetapkan dalam UUTKNS.

Menurutnya, di bawah Perkara 38 dan 40(2), UUTKNS memperuntukkan bahawa Raja Pemerintah Negeri Sembilan, iaitu Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah terdiri daripada Undang Empat Yang Luak serta Tunku Besar Tampin hendaklah melantik seorang ADUN sebagai Menteri Besar yang pada hemat mereka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ADUN.

“Jika Menteri Besar telah hilang kepercayaan majoriti ADUN, beliau perlu memohon kepada Raja Pemerintah untuk membubarkan DUN. Dalam keadaan itu, Raja Pemerintah mempunyai budi bicara sama ada memperkenankan pembubaran, menangguhkan atau tidak memperkenankannya.

“Sekiranya pembubaran ditangguhkan atau tidak diperkenankan, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hendaklah meletakkan jawatan,” ujar beliau.

Mengenai BN dan PN yang dikatakan mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu, Wan Ahmad Fauzi berkata, perkara itu boleh berlaku sekiranya dibuktikan melalui proses perlembagaan yang sah.

Katanya, sekiranya terdapat sokongan mencukupi, nama Menteri Besar baharu dari BN dan PN boleh dipersembahkan kepada Raja Pemerintah untuk pertimbangan pelantikan mengikut peruntukan UUTKNS.

“Boleh, nama Menteri Besar baharu boleh dipersembahkan kepada Raja Pemerintah sekiranya benar ada sokongan majoriti ADUN,” tambahnya.

Wan Ahmad Fauzi turut mengingatkan bahawa setiap ADUN yang mengangkat sumpah jawatan bertanggungjawab untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan negeri dalam setiap tindakan dan keputusan politik.

Tegasnya, setiap ADUN terikat dengan sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan UUTKNS kerana prinsip kedaulatan undang-undang perlu diutamakan berbanding kepentingan politik.

“Ini bermakna mereka perlu meletakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan lebih tinggi daripada agenda serta kepentingan parti jika bercanggah dengan prinsip tersebut.

“Dalam konteks ini perlu dibezakan antara mandat rakyat dan mandat Raja Pemerintah kerana dalam sistem politik Malaysia serta Negeri Sembilan yang ditadbir berasaskan prinsip kedaulatan raja-raja dan keluhuran perlembagaan, sistem demokrasi tempatan tidak bersifat mutlak,” jelasnya.

Beliau berkata, negeri dan Persekutuan khususnya Negeri Sembilan hanya menerima sistem demokrasi berperlembagaan yang menentukan bagaimana wakil rakyat dipilih melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Parlimen serta penyertaan mereka dalam proses penggubalan undang-undang.

Katanya, bagaimanapun, pelantikan Menteri Besar dan Exco merupakan mandat Raja Pemerintah dan tidak lagi terikat dengan mandat rakyat kerana mandat rakyat telah diterjemahkan melalui wakil mereka dalam DUN.