Inari tetap jadi pilihan penganalisis walaupun harga saham turun

LocalBusiness & Finance
23 Jun 2025 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Inari tetap jadi pilihan penganalisis walaupun harga saham turun

image is not available

23/06/2025 - 09:50

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Jun - Penganalisis kekal yakin terhadap prospek Inari Amertron Bhd didorong permintaan yang tinggi untuk pembungkusan cip canggih hasil daripada pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), walaupun harga saham syarikat itu menurun baru-baru ini.

Harga saham Inari Amertron jatuh sebanyak 8.9% kepada RM1.84 selepas keputusan kewangan suku ketiga berakhir Mac diumumkan pada 20 Mei 2024, berbanding RM2.02 sebelum itu.

Keuntungan bersih syarikat pula susut 24.7% berbanding tahun lalu, manakala pendapatan keseluruhan turun 30.9% akibat hasil yang lebih rendah.

Namun, harga saham kini pulih kepada RM1.97.

Prestasi kewangan yang lemah dan kerugian tukaran mata wang asing sebanyak RM53.3 juta akibat kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit, menjadi antara punca turun naik harga saham Inari Amertron.

Pendapatan sesaham (EPS) syarikat juga merosot 19% dalam tempoh setahun dan 42% dalam tempoh tiga tahun, menunjukkan keuntungan yang semakin berkurang.

Namun, pertumbuhan pendapatan bersih Inari Amertron sebanyak 7.1% masih melebihi purata industri iaitu 0.8% dalam tempoh lima tahun.

Walaupun berdepan cabaran seperti kelembapan ekonomi dunia dan permintaan lemah untuk peranti mudah alih, beberapa firma penyelidikan seperti Hong Leong Investment Bank (HLIB), UOB Kay Hian (UOBKH) dan CIMB Securities masih memberi saranan 'beli' terhadap saham syarikat berkenaan.

Ini kerana Inari Amertron memiliki tunai bersih lebih RM2 bilion dan dijangka mendapat permintaan tinggi untuk pembungkusan cip canggih berkaitan pelaburan dalam teknologi AI.

Penganalisis menjangka, hasil syarikat akan meningkat 14% kepada RM1.57 bilion pada 2026, manakala EPS dijangka melonjak 44% kepada 8.5 sen.

HLIB menjangkakan kandungan frekuensi radio (RF) dalam peranti akan terus meningkat menjelang 2026 dan menyarankan pelabur membeli saham Inari Amertron ketika harganya turun.

UOBKH pula melaporkan, penggunaan segmen RF Inari Amertron berada pada tahap sihat, iaitu antara 65% hingga 70%.

"Keadaan ini disumbangkan peningkatan penggunaan komponen RF dalam setiap peranti dan pelancaran model baharu oleh pelanggan utama syarikat dari AS," katanya dalam satu nota kajian.

Inari Amertron juga mula meneroka teknologi pembungkusan cip yang lebih canggih seperti flip-chip, ball grid arrays dan pembungkusan 2.5D/3D, yang dilihat sebagai langkah strategik penting.

Menurut UOBKH, teknologi tersebut memerlukan kemahiran teknikal tinggi, pelaburan besar, sokongan ekosistem dan kerjasama kukuh dengan pelanggan.

Walaupun mencabar, pasaran pembungkusan cip canggih dijangka bernilai RM4.28 trilion menjelang 2029 dengan kadar pertumbuhan tahunan 11%.

UOBKH percaya, Inari kini bekerjasama rapat dengan rakan teknologi dan bersedia melancarkan produk baharu dalam masa terdekat, didorong oleh dasar kerajaan Malaysia yang menyokong industri serta pelanggan yang kukuh.

Sementara itu, CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Inari Amertron, dengan penilaian 24 kali ganda nisbah harga perolehan (PER), iaitu sedikit lebih rendah daripada purata lima tahun sektor pemasangan dan ujian semikonduktor (Osat) Malaysia sebanyak 34 kali.

Walaupun permintaan untuk aplikasi bukan berkaitan AI dijangka perlahan, CIMB Securities masih melihat Inari Amertron sebagai antara saham teknologi tempatan yang berpotensi tinggi.

"Ini kerana syarikat itu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, dengan tunai yang banyak dan tiada hutang, serta peluang besar untuk penggabungan dan pengambilalihan," jelasnya.

Seorang penganalisis asing pula berkata, kehadiran Inari Amertron di Malaysia, China dan Filipina dengan 11 kilang membolehkannya mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan akibat isu geopolitik atau bencana alam.

Inari Amertron juga sedang mengembangkan operasinya di China melalui usaha sama dengan China Fortune-Tech Capital Co (CFTC) bagi menubuhkan perniagaan Osat untuk pasaran tempatan.

Usaha berkenaan membantunya mengurangkan kebergantungan kepada pelanggan utama, Broadcom Inc, yang menyumbang kira-kira 90% daripada pendapatan syarikat.

Selain itu, Inari Amertron juga sedang mencari lebih banyak pelanggan untuk segmen RF, optoelektronik dan sensor, seiring dengan trend global yang mengutamakan penggunaan lebih daripada satu pembekal untuk memastikan bekalan tidak terjejas.

Secara keseluruhan, strategi pertumbuhan Inari Amertron selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan perjanjian perdagangan serantau.

Walaupun berdepan cabaran seperti tarif AS dan kelembapan ekonomi China, syarikat itu dilihat mampu mengatasinya melalui kepakaran teknikal dan operasi yang cekap. - DagangNews.com

standard