Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia susut 0.3% pada Ogos 2023 - DOSM
zulfadli
12/10/2023 - 15:47
KUALA LUMPUR 12 Okt - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia susut 0.3% pada Ogos 2023 berikutan penurunan industri pembuatan berorientasikan eksport manakala industri berorientasikan domestik terus berkembang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, IPP kembali menyusut pada Ogos 2023 iaitu menurun 0.3% tahun ke tahun berbanding positif 0.7% yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Katanya, kejatuhan pada Ogos 2023 adalah disebabkan penyusutan dalam sektor pembuatan dengan
negatif 0.6% berbanding negatif 0.2% yang dicatatkan pada Julai 2023.
"Sebaliknya, sektor perlombongan tumbuh marginal 0.1% berbanding 4.2% pada Julai 2023, manakala sektor elektrik berkembang 1.9% berbanding 1.5% pada Julai 2023.
"Berbanding bulan sebelumnya, IPP meningkat 2.8% berbanding pertumbuhan negatif 1.8% yang direkodkan pada Julai 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Uzir berkata, kemerosotan pengeluaran pembuatan dipengaruhi terutama penyusutan berterusan dalam industri berorientasikan eksport yang susut 2.6% pada Ogos 2023 berbanding 2.7% pada Julai 2023.
Beliau berkata, penurunan disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-7.5%); serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-3.8%).

"Penyusutan itu turut digambarkan melalui prestasi eksport negara yang mengalami trend penurunan sejak Mac 2023 dan merekodkan kemerosotan 18.6% pada Ogos 2023," katanya.
Namun begitu katanya, industri berorientasikan domestik terus berkembang walaupun pada kadar sederhana iaitu 4.2% berbanding 6% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
"Peningkatan tersebut diterajui oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (7.2%); serta pembuatan produk prosesan makanan (5.7%).
"Perbandingan dengan bulan sebelumnya, pengeluaran sektor pembuatan Ogos 2023 pulih kepada 5.1% berbanding negatif 4.3% yang dicatatkan pada Julai 2023," katanya.
Katanya, pengeluaran sektor perlombongan tumbuh marginal sebanyak 0.1% pada Ogos 2023 berbanding 4.2% yang direkodkan pada Julai 2023, dipacu oleh momentum peningkatan 2.6% dalam pengeluaran gas asli (Julai 2023: -0.8%) pada bulan berkenaan.
Sebaliknya, pengeluaran minyak mentah dan kondensat menyusut 3.3% selepas merekodkan pertumbuhan kukuh 11.8% pada Julai 2023. Berbanding bulan sebelumnya, indeks perlombongan jatuh 5.4% berbanding positif 8% yang dicatatkan pada Julai 2023.
Tambah beliau, prestasi IPP bagi lapan bulan pertama 2023, IPP meningkat pada kadar yang perlahan sebanyak 1% berbanding tempoh yang sama 2022 iaitu 7.3%.
"Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu indeks pembuatan (1.2%); indeks perlombongan (0.2%); dan indeks elektrik (1.6%)," katanya. - DagangNews.com


