Indera Mahkota, Kuantan jadi titik permulaan Bersama di Pahang

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 12:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Indera Mahkota, Kuantan jadi titik permulaan Bersama di Pahang
Rafizi ketika berucap pada program Jelajah Kancil ke Pahang di Indera Mahkota, Kuantan pada Ahad malam.

KUANTAN – Parti Bersama Malaysia (Bersama) memilih Indera Mahkota dan Kuantan sebagai antara lokasi terawal untuk memperkenalkan perjuangan parti itu di Pahang.

Pemimpin parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai hubungan yang dekat dengannya selain menjadi antara fokus awal gerakan Bersama di negeri ini.

Menurutnya, penerimaan masyarakat terhadap parti itu akan menentukan langkah seterusnya untuk memperluaskan pengaruh ke kawasan lain di negeri ini.

"Tempat ini apa orang kata, tempat saya bermain, sangat dekat Kemaman dengan Indera Mahkota dan Kuantan ini. Jadi saya tidak boleh hendak baca menang atau kalah semua itu. Wallahualam, yang itu semua ALLAH tentukan.

"Tapi memang Bersama akan ada di Indera Mahkota dan Kuantan...kalau sambutan itu baik, kita tengok pula di Temerloh, Raub, Jerantut," katanya ketika berucap pada program Jelajah Kancil ke Pahang di Indera Mahkota di sini pada Ahad malam.

Bekas Menteri Ekonomi itu turut memaklumkan setiap gerakan politik memerlukan asas yang kukuh sebelum dikembangkan ke kawasan lain.

"Semua benda mesti bermula daripada sesuatu yang kecil dan insya-ALLAH benih yang nak disemai untuk Bersama ini mestilah bermula di Indera Mahkota dan Kuantan," jelasnya.

Rafizi berkata, sejak pelancaran Bersama pada 17 Mei lalu, beliau sering berada di Kuantan dan berpeluang melihat sendiri reaksi masyarakat terhadap parti tersebut.

"Saya sebenarnya kebelakangan ini agak selalu di Indera Mahkota. Selepas dua tiga hari pelancaran Bersama, saya ada di Kuantan dan bila jumpa orang, mereka sudah tahu mengenai Bersama dan tujuan penubuhannya," katanya.