Rafizi dedah bapa kena serangan jantung sehari sebelum pelancaran Bersama

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rafizi dedah bapa kena serangan jantung sehari sebelum pelancaran Bersama
Rafizi
Image from: Rafizi dedah bapa kena serangan jantung sehari sebelum pelancaran Bersama
Rafizi berkongsi kisah dengan orang ramai yang hadir pada program Jelajah Kancil ke Pahang di Indera Mahkota pada Ahad.

KUANTAN – Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bapanya mengalami serangan jantung sehari sebelum pelancaran parti itu pada 17 Mei lalu.

Menurutnya, bapanya pada mulanya menerima rawatan kecemasan di Kemaman sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta di Kuantan untuk mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar jantung.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika beliau sedang sibuk membuat persiapan akhir bagi pelancaran Bersama.

“Sehari sebelum Bersama dilancarkan, ayah saya kena serangan jantung dan masa itu kami semua kelam-kabut.

“Tapi keluarga kata tidak apa, teruskan dahulu dan tengok macam mana,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Kancil ke Pahang di Indera Mahkota di sini pada Ahad.

**media[3558348]**

Berkongsi lanjut, Rafizi berkata, beliau kerap berulang-alik ke Kuantan selepas pelancaran Bersama bagi menemani bapanya menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan.

Menurutnya, pengalaman berada di hospital beberapa hari selepas pelancaran parti itu turut memperlihatkan bagaimana maklumat mengenainya tersebar dengan pantas dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ketika menunggu untuk mengambil ubat, beliau didekati seorang pesakit warga emas berbangsa Cina yang begitu teruja untuk berbual mengenai Bersama.

“Saya jumpa seorang pak cik Cina bersama isterinya. Dia bertanya mengenai Bersama dan perkembangan parti itu.

“Bila saya tanya dia sakit apa, dia kata tengok sahaja keadaan dirinya yang kekuningan,” katanya.

Menurut Rafizi, warga emas berkenaan memaklumkan dia sedang menjalani rawatan berkaitan penyakit hati, namun masih mengikuti perkembangan semasa dan menunjukkan minat terhadap perkara yang berlaku dalam negara.

Katanya, pertemuan tersebut memberi gambaran bahawa maklumat kini bergerak pantas dan mudah sampai kepada masyarakat, termasuk mereka yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Baru beberapa hari dilancarkan, tetapi ramai yang sudah tahu mengenainya dan bertanya tujuan serta hala tuju parti ini.

“Sampai sekarang saya masih ingat pak cik itu kerana dia antara individu yang paling bersemangat bertanya mengenai Bersama ketika saya berada di hospital,” katanya.