PRN Johor: 73 individu tawar diri jadi calon Bersama

Politics
22 Jun 2026 • 6:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: 73 individu tawar diri jadi calon Bersama
Rafizi berucap pada Jelajah Kancil ke Pahang di Indera Mahkota pada Ahad.
Image from: PRN Johor: 73 individu tawar diri jadi calon Bersama
Jelajah Kancil ke Pahang diadakan di Indera Mahkota pada Ahad.

KUANTAN – Seramai 73 individu menawarkan diri untuk menjadi calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meskipun parti itu baru ditubuhkan kira-kira sebulan lalu.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, proses pemilihan calon telah selesai dan pengumuman mengenainya akan dibuat pada Jumaat.

Menurutnya, Bersama akan terlebih dahulu mengumumkan jumlah serta kerusi yang bakal ditandingi menerusi satu kenyataan pada Isnin.

"Kita menerima lebih kurang 73 pemohonan dan proses pemilihan dah selesai. Jadi kita akan mengumumkan dan memperkenalkan calon pada Jumaat.

"Kita umum (lambat) sebab hendak ikut proses Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara berpusat... maksudnya semua urusan seperti borang dan deposit kita mahu selesaikan terlebih dahulu.

"Kedua, ia juga strategi dan pkhak lain sibuk umum calon, jadi kita tunggu semua selesai dan umum paling akhir.. ini juga ada nilai kejutan," katanya ketika ditemui selepas Jelajah Kancil ke Pahang yang diadakan di Indera Mahkota di sini pada Ahad.

**media[3558317]**

Lebih 100 hadir memeriahkan jelajah itu yang turut dihadiri pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa pemimpin dari parti tersebut

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pengumuman mengenai penyertaan Bersama pada PRN Johor akan dibuat secara berperingkat.

Jelasnya, pendekatan itu dipilih kerana maklumat yang didedahkan mempunyai kaitan dengan perancangan parti bagi menghadapi pilihan raya.

"Sebab itu kita akan buat secara berperingkat iaitu berapa kerusi kita bertanding dan kerusi mana kita bertanding itu adalah petunjuk kepada bagaimana Bersama ingin meletakkan kedudukannya dalam arena politik," katanya.

Menyentuh mengenai pendekatan bergerak secara solo, Rafizi menegaskan keputusan yang diperoleh pada PRN Johor tidak akan mengubah hala tuju parti itu.

Menurutnya, Bersama mempunyai penanda aras dalaman tersendiri bagi menilai tahap penerimaan pengundi daripada pelbagai latar belakang.

Jelas beliau, PRN Johor ini ialah satu proses untuk kita memperkenalkan Bersama kepada pengundi.

"Bagi saya, politik ini bila masuk pilihan raya, setiap parti walaupun sudah berusia 100 tahun pun, ia kan terus diuji. Proses yang Bersama lalui di Johor ini adalah proses yang sama seperti yang dilalui oleh parti-parti lain seperti PH dan BN.

"Apa pun keputusan di PRN Johor, saya tak rasalah itu akan mengubah hala tuju dan strategi Bersama yang kita akan terus kekal solo," ujarnya

Rafizi menambah, keputusan yang diperoleh dalam PRN Johor akan digunakan untuk mengenal pasti kelemahan serta menambah baik gerak kerja parti.

"Kita tidak akan bertindak secara terburu-buru. Jika ada kelemahan, kita akan memperbaikinya, namun strategi yang telah ditetapkan akan terus dikekalkan," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, diikuti dengan hari pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai.Habis#