Individu didakwa seleweng dana zakat RM230 juta tiada kaitan dengan PKZ Pahang, MUIP

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 6:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Individu didakwa seleweng dana zakat RM230 juta tiada kaitan dengan PKZ Pahang, MUIP
Laporan Sinar Harian mengenai kes penyelewengan dana zakat.

KUANTAN - Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) mengesahkan individu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana zakat berjumlah RM230 juta tidak mempunyai sebarang hubungan, kerjasama atau pelantikan rasmi dengan PKZ Pahang mahupun Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Ketua Pegawai Eksekutif PKZ Pahang, Dr Mohd Azmi Othman berkata, individu terbabit juga bukan ejen yang diiktiraf di bawah mana-mana skim kutipan zakat negeri ini.

Menurutnya, PKZ Pahang dan MUIP memandang serius isu tular berkaitan penahanan beberapa individu yang dikaitkan dakwaan penyelewengan dana tersebut.

"MUIP sentiasa memastikan setiap pengurusan zakat, termasuk melalui mekanisme wakalah, dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti tinggi.

"Setiap kelulusan wakalah tertakluk kepada syarat ketat serta pemantauan rapi, termasuk keperluan laporan agihan kepada asnaf yang sah," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohd Azmi justeru mengingatkan pada majikan dan pembayar zakat agar tidak berurusan dengan mana-mana individu atau organisasi yang tidak dilantik secara rasmi oleh PKZ Pahang atau MUIP bagi mengelakkan risiko penipuan dan penyalahgunaan dana.

"Sebarang aktiviti mengutip atau mengurus zakat tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 38 dan Seksyen 39 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang 2013," katanya.

Tegas beliau, masyarakat juga dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan spekulasi atau maklumat tidak sahih sebaliknya sentiasa merujuk kepada saluran rasmi PKZ Pahang bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan dipercayai.

"PKZ Pahang kekal komited memastikan setiap dana zakat diuruskan dengan penuh amanah, telus dan berimpak demi kesejahteraan asnaf dan pembangunan ummah.

"Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat atas kepercayaan berterusan kepada Pusat Kutipan Zakat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang," ujarnya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor sebelum ini menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat kira-kira RM230 juta.