Individu dorong anjing menyerang boleh dikenakan tindakan – JPV

1 Sep 2026 • 12:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Individu dorong anjing menyerang boleh dikenakan tindakan – JPV

GEORGE TOWN – Orang ramai diminta supaya melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengesyaki atau mempunyai bukti terdapat individu yang menggalakkan atau melakukan provokasi terhadap haiwan untuk menyerang.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang memaklumkan, perbuatan itu boleh disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial mengenai rakaman video seekor anjing peliharaan menyerang anjing liar sehingga cedera di Tanjung Bungah dan terdapat seorang lelaki memegang tali haiwan itu ketika insiden tersebut berlaku.

Menurut JPV Pulau Pinang, semakan terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015 mendapati tiada peruntukan jelas di bawah akta itu yang boleh mensabitkan kesalahan ke atas pemilik atas pergaduhan antara haiwan atau pemilik tidak meleraikan pergaduhan.

“Bagaimanapun, tindakan menggalakkan atau mendorong haiwan untuk menyerang boleh dilihat di bawah Seksyen 8, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPV Pulau Pinang  berkata, peruntukan itu menyatakan mana-mana individu tanpa alasan sah di sisi undang-undang menggalak atau mendorong mana-mana anjing atau haiwan lain untuk menyerang atau menakutkan mana-mana orang atau haiwan boleh didenda.

“JPV Pulau Pinang mengambil serius setiap aduan berkaitan kebajikan haiwan dan akan mengambil tindakan berasaskan fakta, bukti dan peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” jelasnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A. Rajendran berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu menerusi saluran WhatsApp dua hari lalu dan semakan mendapati anjing tersebut mempunyai lesen yang sah dan direkodkan sebagai anjing baka campuran.

MBPP telah menangkap anjing itu semalam dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. – Bernama

The post Individu dorong anjing menyerang boleh dikenakan tindakan – JPV appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved