
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memantau kewujudan gerai tanpa lesen di Inanam dan Kolombong dengan sejumlah lapan pengusaha di kawasan berkenaan dikenakan tindakan baru-baru ini kerana melanggar Undang-Undang Kecil Penjaja 1966 (Pindaan 2008).
Kesemua barangan penjaja terbabit disita oleh agensi berkenaan.
Tindakan itu susulan maklum balas daripada dua pemandu yang tidak berpuas hati dengan kewujudan gerai-gerai yang beroperasi di beberapa bahagian di Jalan Tuaran Bypass dan Jalan Industrial Area.
KOMPAUN dikenakan terhadap penjual makanan yang beroperasi di Kolombong.Pemandu dari Inanam mengadu mengenai kesesakan yang berlaku akibat ramai pengguna jalan raya berhenti untuk melihat barangan yang dijual di sepanjang laluan berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi dari Kolombong ingin mengetahui bagaimana pihak berkuasa berkaitan boleh membiarkan khemah kanvas didirikan di laluan pejalan kaki di kawasan berkenaan.
Kedua-dua individu berkenaan memberikan maklumat berkaitan aduan mereka kepada Hotline, yang kemudiannya disalurkan kepada agensi terbabit.
Jurucakap Jabatan Pelesenan DBKK berkata seramai 34 anggota dikerahkan ke Jalan Tuaran Bypass pada satu hari bekerja minggu lalu.
Menurutnya, sembilan daripada jumlah itu merupakan anggota Jabatan Pelesenan manakala selebihnya terdiri daripada anggota Jabatan Penguatkuasaan agensi berkenaan.
“Beberapa khemah kanvas didapati didirikan di bahu jalan sekitar jam 3 petang pada hari berkenaan. Makanan dan minuman, selain buah-buahan termasuk durian, antara barangan yang dijual di situ,” katanya.
Katanya pasukan gabungan itu mendapati tujuh penjaja menggunakan bahu jalan berkenaan dan kesemuanya tidak mempunyai lesen sah daripada DBKK.
Tindakan serta-merta agensi itu menghentikan kegiatan berkenaan apabila meja, kerusi, kotak plastik, alat penimbang, kereta sorong, khemah lipat dan barangan jualan penjaja lain dimuatkan ke dalam lori.
Jurucakap itu berkata barangan yang disita telah disenaraikan dengan sewajarnya dan disimpan dengan selamat mengikut prosedur yang ditetapkan.
Satu laporan polis turut dibuat untuk tujuan rekod serta selaras dengan prosedur jabatan berkenaan, katanya.
Pada Jumaat pertama Ogos lalu, agensi itu mengambil tindakan terhadap seorang penjual makanan yang beroperasi di laluan pejalan kaki di Kolombong.
Jurucakap itu berkata seramai 25 anggota agensi berkenaan pergi ke Jalan Industrial Area sekitar jam 7 malam dalam operasi tersebut. Daripada jumlah itu, lapan anggota adalah dari Jabatan Pelesenan manakala 15 lagi daripada Jabatan Penguatkuasaan.
“Pegawai kami merobohkan gerai kanvas yang didirikan di rizab jalan di sini dan mengalihkan barangan di bawahnya termasuk meja dan kerusi, serta motosikal yang telah diubah suai oleh penjaja berkenaan menjadi kaunter hidangan bergerak.”Menurutnya, barangan milik penjaja itu dimuatkan ke bahagian belakang lori yang mengiringi pasukan berkenaan.
“Kami mengambil tindakan ini kerana pengusaha gerai berkenaan gagal mematuhi amaran terdahulu supaya menghentikan aktiviti menjual di bahu jalan,” katanya.
Katanya, individu berkenaan telah dikenakan kompaun atas kesalahan itu dua minggu sebelumnya kerana gagal mematuhi arahan lisan yang diberikan oleh agensi berkenaan.
MOTOSIKAL milik penjaja antara barangan yang dimuatkan ke dalam lori DBKK ketika operasi.Jurucakap itu bagaimanapun enggan menyatakan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap penjaja terbabit.
“Kompaun sehingga RM500 boleh dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 1966. Mana-mana penjaja yang barangan mereka disita perlu menjelaskan penalti tambahan sebanyak RM300 untuk menuntut semula barangan tersebut.”Dia memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pesalah berulang dengan denda sehingga RM5,000 boleh dikenakan sekiranya mereka didapati bersalah di mahkamah.



