Individu pernah lahirkan 'sang juara' pilihan Zii Jia

7 May 2023 • 4:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lee Zii Jia - Foto Bernama

PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia memberi bayangan bahawa calon jurulatih baharu yang bakal dipilihnya merupakan individu yang pernah menghasilkan ‘sang juara’ dalam kejohanan badminton sebelum ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Zii Jia yang kembali menagih khidmat jurulatih menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris yang akan bermula dengan Piala Sudirman di China pada 14 Mei ini berkata, keputusan mengenai jurulatih baharunya itu, bagaimanapun belum dimuktamadkan.

"Proses pencarian jurulatih sedang berjalan. Ada beberapa calon dikenal pasti, namun saya tidak boleh umum kerana belum disahkan. Apa yang boleh saya katakan ialah jurulatih itu pernah hasilkan juara,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Kejohanan Badminton Piala Presiden di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Zii Jia sebelum ini bergerak secara bersendirian tanpa bimbingan jurulatih selepas mengambil keputusan berpisah dengan pengendali dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lepas.

Ketiadaan jurulatih hampir enam bulan menyaksikan prestasi pemain berusia 25 tahun itu merudum dalam beberapa kejohanan, selain jatuh ke posisi kelapan daripada posisi keempat dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang terbaharu.

Terdahulu, Zii Jia yang mengetuai skuad Malaysian Tigers menjuarai edisi kedua Piala Presiden selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas Malaysian Eagles.

Piala Presiden merupakan kejohanan simulasi buat barisan atlet badminton negara yang akan menggalas cabaran Piala Sudirman di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei ini. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved