
PETALING JAYA – Pengguna media sosial dari Malaysia dan Singapura hari ini dilihat bersatu hati melawan kembali kata-kata ejekan dan kecaman dilemparkan oleh segelintir netizen Indonesia, semuanya gara-gara Piala ASEAN FIFA.
Tinjauan di platform Thread, segelintir pengguna media sosial Indonesia didakwa memuat naik hantaran berbaur provokasi kepada Malaysia dan Singapura dengan pelbagai perkataan jelik serta hinaan.
Malah, seorang pengguna Thread Indonesia didakwa memuat naik hantaran ejekan kepada peminat bola sepak Malaysia serta dengan sengaja menaip nama negara Singapura dengan ejaan ‘Singa Poor’.
Tindakan tersebut mengundang kecaman oleh pengguna media sosial Malaysia dan Singapura lebih-lebih lagi nilai mata wang kedua-dua negara lebih besar daripada Indonesia.
“Panggil Singapura sebagai ‘Singa Poor’ itu gila. Malaysia pun tak buat macam tu. Rupiah kepada dolar Singapura (SGD) adalah 14 kali ganda. Malaysia kepada SGD 3.2 kali ganda. Negara 3.2 kali ganda ni pun tak berani nak panggil Singapura miskin,” kata pengguna Thread Akhmlhkm yang juga rakyat Malaysia.
“Beraninya kata SG (Singapura) miskin,” komen Qlhzzn yang juga rakyat Malaysia.
“Kena label ‘Singa Poor’ daripada netizen negara jiran. Agak-agak berapa eh kalau nak beli satu keluarga kat sana? Kalau seluruh keluarga, aku nak beli,” kata pengguna Thread rakyat Singapura, Kamarvzaman yang turut berkongsi gambaran bersatu hati antara rakyat Malaysia dan Singapura.
“Titik terendah Singapura dipanggil ‘Singa Poor’ daripada negara miskin,” komen Zyzykhxn yang juga rakyat Singapura.
“Saya orang Johor Bahru tengok bola semalam Malaysia lawan Singapura kat mamak. Tenang je orang Singapura dengan Malaysia duduk satu meja. Bila Malaysia gol, rakyat Singapura gelak-gelak. Siap ‘bahan’ (kutuk) pemain dia sendiri dengan rakyat Malaysia. Serius, harmoni. Indonesia ni je pelik,” kata pengguna Thread Bibmisman.
Menerusi perlawanan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung,semalam, Harimau Malaya menutup kempen Kumpulan A Piala ASEAN FIFA dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Singapura, namun pesta gol itu akhirnya bertukar duka apabila impian ke final tetap berkubur.
Malaysia mengumpul kemenangan besar, tetapi keputusan itu tidak memadai selepas Indonesia turut mencipta pesta gol dengan membelasah Bangladesh 9-2.
Keputusan itu menyaksikan Indonesia menamatkan saingan selaku juara kumpulan dan dijangka bertemu Thailand di pentas final, Isnin depan. – KOSMO! ONLINE
The post Indonesia ‘main kasar’, orang Malaysia, Singapura bersatu lawan balik appeared first on Kosmo Online.






