
Gangguan ke atas Cloudflare dua hari lalu mengakibatkan ribuan syarikat yang bergantung kepada perkhidmatan CDN dan perlindungan DDOS mereka gagal diakses di seluruh dunia. Kerana namanya kini disebut-sebut, Kementerian Komunikasi dan Informatika (Komdigi) telah memberi amaran akan menyekat semua perkhidmatan Cloudflare di Indonesia.

Cloudflare akan disekat kerana masih belum berdaftar di Indonesia serta tidak mempunyai wakil rasmi di negara tersebut seperti yang diperlukan oleh pihak berkuasa. Pada waktu yang sama Komdigi juga berkata Cloudflare digunakan oleh puluhan ribu lama judi yang disekat.
Surat amaran rasmi telahpun dihantar oleh Komdigi kepada Cloudflare dengan ia diberikan 14 hari untuk berdaftar dan memberikan kerjasama. Kegagalan akan menyebabkan Cloudflare disekat selepas tempoh tersebut. Jika ini berlaku, banyak laman rasmi dan media di Indonesia akan terjejas kerana 20% laman web dunia bergantung pada Cloudflare.
Permit Penyelenggara Sistem Elektronik Lingkup Privat (PSE) mewajibkan semua syarikat perkhidmatan digital dan atas talian dari dalam serta luar negara berdaftar di Indonesia sejak 2022. Akibatnya perkhidmatan popular seperti PayPal, Reddit, Steam, dan Epic Games dihalang selama beberapa minggu sehingga menimbulkan kemarahan pengguna.
