Indonesia rampas ketamin lebih RM786 juta, pintas kapal syarikat berpangkalan di Malaysia

23 Oct 2026 • 4:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Indonesia rampas ketamin lebih RM786 juta, pintas kapal syarikat berpangkalan di Malaysia

JAKARTA – Pihak berkuasa merampas 1.1 tan ketamin daripada sebuah kapal asing di perairan Pulau Sumatera dalam rampasan dadah besar kali kedua di Indonesia sejak dua bulan lalu, kata  seorang pegawai kanan polis hari ini.

Ketamin berfungsi terutamanya sebagai ubat bius  tetapi disalahgunakan secara meluas sebagai dadah parti haram. Pengedarannya dikawal dan dipantau secara ketat di Indonesia.

“Komuniti perisikan mula menjejaki kapal tangki MT Global 168 yang berlayar dari Thailand melalui Laut Andaman pada Ogos lalu selepas menerima maklumat ia mungkin terlibat dalam aktiviti mencurigakan, “ kata Ketua Polis Indonesia, Suyudi Ario Seto kepada pemberita di bandar Medan.

Kapal itu mengibarkan bendera Mongolia tetapi dimiliki oleh sebuah syarikat berpangkalan di Johor Bahru, Malaysia, kata Suyudi.

Selasa lalu, polis dan  kastam memintas kapal tersebut di Selat Melaka semasa ia menuju ke Pelabuhan Klang  dan membawanya ke Pelabuhan Belawan di wilayah Sumatera Utara untuk pemeriksaan.

“Daripada operasi geledah ini, pasukan gabungan berjaya merampas dadah haram dalam bentuk ketamin HCL (hidroklorida). Bahan bukti tersebut ditemukan  dalam 58 guni dengan jumlah berat mencapai 1.16 tan,” katanya.

Pihak berkuasa turut menahan lapan anak kapal terdiri daripada  tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan.

Polis menganggarkan muatan itu bernilai 3.48 trilion rupiah (RM786.2 juta), kata Suyudi lagi.

Rampasan itu berlaku hanya selepas dua bulan pihak berkuasa Indonesia memintas sebuah kapal membawa 1.3 tan ketamin dari Thailand yang disembunyikan di dalam 65 guni dekat Kepulauan Riau.

Indonesia mempunyai antara undang-undang anti dadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati bagi pengedar narkotik. – AFP

The post Indonesia rampas ketamin lebih RM786 juta, pintas kapal syarikat berpangkalan di Malaysia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved