Pelancong India jadi keldai dadah dibayar RM1,000

9 Oct 2026 • 1:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelancong India jadi keldai dadah dibayar RM1,000

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan pelancong India sebagai ‘keldai dadah’ dengan menawarkan bayaran sekitar RM1,000 seorang untuk membawa masuk ketamin ke negara ini terbongkar dalam Op Plekoptera, bulan lalu.

Sindiket terbabit dikesan menggunakan beg bagasi yang diubah suai dengan ruang khas bagi menyembunyikan dadah sebelum dibawa menaiki penerbangan dari India ke Malaysia.

Modus operandi itu terbongkar menerusi Op Plekoptera yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas lima warga India berusia antara 21 hingga 43 tahun ditahan dalam empat serbuan pada 23 September lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Mac lalu dan menggunakan warga India sebagai kurier untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

Katanya, hasil risikan mendapati kesemua kurier terbabit menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Chennai, India sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka berjaya melepasi pemeriksaan di Chennai dan KLIA sebelum ditahan di Kuala Lumpur.

“Setiap kurier dibayar kira-kira RM1,000,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini.

Hussein berkata, sindiket terbabit menyembunyikan dadah dalam ruang khas pada bagasi yang telah diubah suai bagi mengelakkan bahan terlarang itu dikesan ketika pemeriksaan keselamatan.

Menurutnya, empat serbuan yang dijalankan membawa kepada rampasan 38.33 kilogram (kg) ketamin dan 0.038 kg bunga ganja bernilai keseluruhan kira-kira RM1.92 juta.
Ujarnya, taktik menggunakan pelancong asing sebagai kurier menunjukkan sindiket antarabangsa semakin kreatif mencari jalan untuk mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Ini merupakan kes yang unik kerana dadah dibawa masuk dari India ke Malaysia menggunakan pelancong sebagai kurier.

“Dadah dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati seorang daripada lima suspek positif THC.

“Kesemua suspek telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 6 Oktober lalu,” katanya.

Dalam operasi berasingan, Hussein berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 49 tahun ditahan dalam empat serbuan Op Tongkol di Selangor pada 1 Oktober lalu.

Jelasnya, operasi itu membawa kepada rampasan 111.74 kg methamphetamine dan 0.44 kg heroin bernilai kira-kira RM5.6 juta.

“Sindiket terbabit dipercayai menjadikan kawasan parkir tempat awam termasuk pusat beli-belah dan klinik sebagai lokasi serahan bekalan.

“Polis akan terus mempergiatkan operasi berasaskan risikan terhadap sindiket yang beroperasi di negara ini dan mempunyai rangkaian antarabangsa,” katanya.- UTUSAN

The post Pelancong India jadi keldai dadah dibayar RM1,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved