
Pemerintah Indonesia menguji kaedah baharu bagi menangani jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah (karhutla) dengan menyebarkan ais kering atau dry ice menggunakan pesawat di Sumatera Selatan, lapor Kompas.
Indonesia uji kaedah tabur ais kering
Kementerian Koordinator Bidang Politik dan Keselamatan Indonesia dalam kenyataan pada Khamis berkata penggunaan teknologi itu buat pertama kali di negara berkenaan diharap dapat membantu mengurangkan kepekatan jerebu di kawasan bandar dan sekitarnya.
Menteri Penyelaras Bidang Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman berkata ujian kaedah berkenaan dilaksanakan di Sumatera Selatan pada Khamis.
Beliau berkata fungsi ais kering itu adalah untuk mengangkat asap yang berada di paras rendah ke kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan pengumpulan asap di kawasan bandar dan sekitarnya.
Kaedah itu berbeza daripada Operasi Pengubahsuaian Cuaca (OMC) yang dilaksanakan bagi merangsang hujan untuk membantu memadamkan kebakaran.
Menurut Dudung, penyebaran ais kering bertujuan mengurangkan kesan jerebu, manakala OMC diteruskan bagi merangsang hujan buatan untuk memadamkan kebakaran.
Kedua-dua kaedah itu akan dilaksanakan secara serentak sebagai sebahagian daripada usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di negara berkenaan.
Beliau berkata pelaksanaan kaedah berkenaan susulan arahan Presiden Prabowo Subianto supaya usaha menangani kesan kebakaran hutan dan tanah dipercepatkan.
Pada peringkat awal, pemerintah menyediakan sebanyak 1.5 tan ais kering untuk disebarkan menggunakan pesawat di sekitar kawasan bandar. Bekalan bahan itu diperoleh dari Lampung dan kawasan setempat.
Dudung berkata sekiranya ujian berkenaan berjaya, kaedah itu akan diperluas ke kawasan lain yang turut terjejas akibat jerebu, termasuk Kalimantan Tengah dan kawasan sekitarnya.
Pemerintah menyasarkan kaedah itu dapat meningkatkan kualiti udara serta jarak penglihatan di kawasan terjejas.
Ketika ini, jarak penglihatan dilaporkan sekitar 1,000 meter dan pemerintah menyasarkan peningkatan kepada 5,000 meter atau lebih.





