
SEBERANG PERAI – Industri halal Malaysia terus mendapat pengiktirafan di peringkat global apabila semakin banyak negara menyatakan hasrat untuk memperluaskan kerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan industri berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pengiktirafan itu membuktikan rekod prestasi cemerlang negara dalam pensijilan halal sehingga menjadi rujukan pemimpin dunia.
“Kalau dulu halal ini hanya makanan tertentu, tetapi sekarang ini hampir di semua kunjungan saya di luar negara, tidak terlepas pemimpinnya menyatakan mahu memperluaskan kerjasamana dalam industri halal bersama Malaysia.
“Baik Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, baik Presiden Xi Jinping di China, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva di Brazil, Presiden Cyril Ramaphosa di Afrika Selatan, semuanya menyatakan Malaysia mempunyai rekod prestasi yang baik dalam industri halal dan mereka mahu bekerjasama untuk mendapat pensijilan dan pengiktirafan halal dari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini hari ini.
Tambahnya, kejayaan itu adalah hasil usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam yang berjaya mengekalkan kredibiliti sistem pensijilan halal negara. – KOSMO! ONLINE
The post Industri halal Malaysia terus diiktiraf dunia appeared first on Kosmo Digital.






