GEORGE TOWN – Pulau Pinang diminta merangka Pelan Induk Sisa Hijau dan E-Waste Berteknologi Tinggi yang komprehensif bagi memanfaatkan potensi ekonomi berasaskan industri kitar semula dan tenaga boleh baharu, termasuk konsep waste-to-wealth serta waste-to-energy (WTE).
Cadangan itu dikemukakan oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO-Bertam) ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-15 di sini.
Beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai kelebihan strategik untuk muncul sebagai hab industri kitar semula berteknologi tinggi di rantau ini.
Menurutnya, Pulau Pinang berpotensi besar mengubah sisa kepada sumber ekonomi baharu melalui pelaburan industri e-waste yang memproses bahan bernilai tinggi seperti nikel, litium dan kobalt.
“Pulau Pinang berpeluang besar untuk mengubah sisa menjadi kekayaan baharu (waste to wealth) dengan menarik pelaburan luar negara berasaskan teknologi tinggi.
"Industri kitar semula e-waste mempunyai potensi tinggi kerana melibatkan pemprosesan logam bernilai seperti nikel, litium dan kobalt. Malah, tujuh daripada 17 syarikat berlesen di Malaysia sudah beroperasi di Pulau Pinang, dan ini adalah kelebihan yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan pelaksanaan projek WTE yang bukan sahaja mampu mengurangkan masalah sisa pepejal malah menjana sumber tenaga alternatif untuk negeri.
Bagaimanapun, Reezal berkata, pelaksanaan projek berkenaan memerlukan perancangan rapi serta sokongan penuh kepimpinan negeri bagi memastikan ia dilaksanakan secara mampan dan selamat.
“Ini bukan sekadar isu alam sekitar tetapi peluang ekonomi besar yang tidak boleh dilepaskan.
"Kerajaan negeri perlu bertindak segera sebelum kita ketinggalan dalam ekonomi hijau dan 'circular economy'," katanya.
Dalam perkembangan lain, Reezal turut mencadangkan Kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan pemberian insentif 'one-off' sebanyak RM500 kepada pesawah bagi membantu mereka menghadapi kenaikan kos input pertanian yang semakin meningkat.
Beliau berkata, bantuan itu penting bagi meringankan beban pesawah yang terkesan akibat kenaikan harga baja, racun perosak dan kos operasi lain, sekali gus memastikan kelangsungan sektor penanaman padi di negeri ini.
“Kerajaan negeri boleh mempertimbangkan pemberian insentif 'one-off' RM500 kepada pesawah untuk membantu mereka pada masa ini.
"Ini antara langkah sokongan langsung yang boleh dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Beliau menegaskan, sektor pertanian khususnya padi perlu terus diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan jaminan bekalan makanan negara.



