GEORGE TOWN - Sebanyak 136 rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di Pulau Pinang dikenal pasti tidak mempunyai kelulusan Pelan Bangunan setakat Januari 2026.
Sebanyak 115 daripadanya berada di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) manakala 21 lagi di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, sebarang pembinaan baharu RIBI tanpa kelulusan pihak berkuasa akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan dasar dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, kesemua kes RIBI tanpa kelulusan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan RIBI Pulau Pinang bagi tujuan penyelarasan keputusan serta tindakan lanjut.
“Bagi struktur RIBI sedia ada yang dibina tanpa kelulusan, kerajaan negeri mengamalkan pendekatan toleransi melalui proses pemutihan, penempatan semula atau penyediaan tapak alternatif yang bersesuaian.
“Usaha ini akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan penyelesaian lebih mampan dan mengelakkan isu sama berulang pada masa hadapan,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Rabu.
Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan K Kumaran (DAP-Bagan Dalam) mengenai pendirian serta langkah kerajaan negeri dalam menangani isu rumah ibadat tanpa izin di Pulau Pinang.
Tambah beliau, tempoh dan kaedah penyelesaian setiap kes adalah tertakluk kepada merit kes masing-masing termasuk kesesuaian tapak dan hasil rundingan dengan pihak berkepentingan.
“Bagi memperkemaskan pengurusan isu berkenaan, Jawatankuasa Penyelarasan RIBI Pulau Pinang telah ditubuhkan dan diselia oleh Unit RIBI, Jabatan Perancang Bandar dan Desa negeri.
“Selain itu, penyediaan tapak RIBI turut dijadikan syarat dalam setiap skim pembangunan baharu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kemudahan keagamaan dirancang secara lebih tersusun dan sah di sisi undang-undang,” ujarnya lagi.
Menurut Siew Khim, pengurusan isu rumah ibadat tanpa izin dilaksanakan berdasarkan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] serta garis panduan yang dikuatkuasakan PBT.
Bagi kawasan MBPP, penyediaan tapak RIBI berpandukan Garis Panduan untuk Penyediaan Kemudahan Masyarakat di Kawasan Pembangunan Perumahan Baharu manakala MBSP menggunakan Garis Panduan Piawaian Perumahan MBSP.
“Setiap pembangunan RIBI perlu mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) kepada PBT untuk pertimbangan dan kelulusan.
“PBT juga bertanggungjawab memastikan setiap pembangunan mematuhi pelan yang diluluskan serta boleh mengambil tindakan terhadap pembinaan tanpa kebenaran,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri memaklumkan usaha penambahbaikan garis panduan RIBI sedang dilaksanakan di peringkat Persekutuan menerusi Kertas Makluman Cadangan Kajian Semula Pelaksanaan RIBI dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT).






