Sidang DUN: Pulau Pinang tidak cadang pinda had tempoh jawatan Ketua Menteri

LocalPolitics
11 May 2026 • 10:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sidang DUN: Pulau Pinang tidak cadang pinda had tempoh jawatan Ketua Menteri
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang ketika ini tidak bercadang untuk meminda had tempoh jawatan Ketua Menteri daripada dua penggal kepada 10 tahun meskipun timbul persoalan berhubung tafsiran tempoh tersebut sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengekalkan tafsiran sedia ada berdasarkan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang menetapkan seseorang tidak boleh memegang jawatan Ketua Menteri bagi lebih dua penggal.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, Perkara 7 Fasal 2(a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri perlu melantik sebagai Ketua Menteri seorang ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak pernah memegang jawatan Ketua Menteri bagi dua penggal.

“Perkara 19 Fasal 3 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang pula memperuntukkan bahawa melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, DUN hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya.

“Dalam keadaan DUN dibubarkan sebelum sesuatu penggal mencapai tempoh lima tahun, istilah dua penggal seharusnya difahamkan sebagai pengiraan kumulatif tahun-tahun yang terlibat untuk penggal pertama dan penggal kedua yang mana, jumlah keseluruhan boleh kurang daripada 10 tahun tetapi tidak boleh sama sekali melangkaui 10 tahun,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.

Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) mengenai persediaan kerajaan negeri untuk membuat pindaan daripada dua penggal kepada 10 tahun berhubung had tempoh jawatan Ketua Menteri.

Menurut Kon Yeow, tafsiran tersebut dibuat selaras dengan tempoh sesuatu penggal DUN yang boleh berakhir lebih awal sekiranya pembubaran dilakukan sebelum tamat tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan negeri ketika ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat pindaan terhadap peruntukan sedia ada.

Pada November 2018, Pulau Pinang merupakan negeri pertama meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Perbentangan RUU tersebut dibuat Kon Yeow yang mana beliau berkata, pindaan enakmen berkenaan selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu yang menggariskan jawatan ketua menteri dan menteri besar dihadkan kepada dua penggal sahaja demi menerapkan amalan tadbir urus baik dan telus.