Industri pelancongan menyumbang RM323 bilion, catat 15.9% kepada KDNK Malaysia bagi 2025

15 Sep 2026 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Industri pelancongan menyumbang RM323 bilion, catat 15.9% kepada KDNK Malaysia bagi 2025 Image from: Industri pelancongan menyumbang RM323 bilion, catat 15.9% kepada KDNK Malaysia bagi 2025 amree15/09/2026 - 12:40 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Sept — Industri pelancongan semakin mengukuhkan peranan sebagai pemacu ekonomi dengan menjana nilai ditambah sebanyak RM323 bilion pada 2025, sekali gus menyumbang 15.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menerusi laporan Akaun Satelit Pelancongan 2025, agensi statistik tersebut berkata, industri berkenaan berkembang 8.6% tahun lalu, lebih tinggi berbanding 7.8% pada 2024, didorong permintaan kukuh daripada perbelanjaan pelancongan domestik dan pelancong antarabangsa.

 

Ujarnya, perbelanjaan pelancongan dalaman turut meningkat kira-kira 15.2% kepada sebanyak RM236.9 bilion pada 2025 berbanding hanya RM205.6 bilion pada tahun sebelumnya.

 

"Daripada jumlah tersebut, perbelanjaan pelancongan masuk menyumbang 52.7%, manakala pelancongan domestik membentuk baki 47.3%," kata DOSM dalam kenyataan.

 

Perbelanjaan pelancongan masuk melonjak 16.5% kepada RM124.8 bilion pada 2025, meskipun kadar pertumbuhan itu lebih sederhana berbanding peningkatan 41.3% pada 2024.

 

Jelasnya, pelancong menyumbang kira-kira 95.6% daripada perbelanjaan pelancongan masuk, manakala pengunjung harian menyumbang baki sebanyak 4.4%.

 

DOSM-pelancongan

 

Sementara itu, perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 13.8% kepada RM112.1 bilion, berbanding pertumbuhan 25.1% pada 2024, dengan pelancong menyumbang 58.3% dan pengunjung harian 41.7%.

 

Dari segi nilai ditambah industri, perdagangan runcit merupakan penyumbang terbesar dengan 50.6%, diikuti perkhidmatan makanan dan minuman (16.4%) serta perkhidmatan ciri khas pelancongan negara seperti kesihatan dan aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan serta pameran (13.1%).

 

DOSM berkata, sektor penginapan pula menyumbang kira-kira 9.3% kepada nilai ditambah industri pelancongan, manakala aktiviti kebudayaan, sukan dan rekreasi menyumbang 4.3%.

 

"Dalam aspek tenaga kerja, industri berkaitan pelancongan menyediakan **3.7 juta pekerjaan pada 2025, bersamaan 22.1% daripada jumlah guna tenaga di Malaysia, meskipun pertumbuhan pekerjaan sederhana kepada 3.5% daripada 4.6% pada 2024," jelasnya.

 

Perdagangan runcit kekal penyumbang terbesar pekerjaan berkaitan pelancongan dengan 37.9%, diikuti perkhidmatan makanan dan minuman (36.7%) serta perkhidmatan ciri khas pelancongan (10.5%) dengan ketiga-tiga subsektor itu secara bersama membentuk 85.1% daripada keseluruhan pekerjaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved