
Kota Kinabalu: Kerjasama lebih erat antara ejen pelancongan dan pemain industri pelancongan dari pelbagai negara penting bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan terus mampan khususnya dalam menghadapi peningkatan kos operasi dan persaingan yang semakin sengit.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Shamsureezal Mohd Sainal berkata jaringan rentas sempadan dapat membantu memperluas aliran pelancong, mewujudkan peluang perniagaan baharu serta memperkukuh daya tahan industri menghadapi krisis pada masa depan.
“Kenaikan harga minyak, tambang penerbangan dan kos penginapan memberi tekanan kepada sektor pelancongan sekaligus menjadikan kerjasama antara pengendali pelancongan semakin penting.
“Kita memerlukan kerjasama antara ejen pelancongan di semua tempat khususnya dari satu negara ke negara lain.
“Tanpa hubungan dan kerjasama ini, industri pelancongan kita boleh terjejas dan pemain industri mungkin berdepan situasi yang sangat sukar,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Kayworld International Family Trip 2026.
Beliau mengambil contoh pandemik Covid-19 pada 2020 yang menyebabkan ramai pemain industri pelancongan gulung tikar atau kehilangan sumber pendapatan sambil menegaskan keadaan sedemikian tidak boleh berulang.
Andi berkata jaringan yang berkesan dapat mewujudkan peluang menerusi jualan silang pakej pelancongan, promosi destinasi secara bersama serta pertemuan perniagaan yang membabitkan pengendali pelancongan, ejen pelancongan, hotel dan syarikat pelancongan lain.
Menurutnya pelancong yang berkunjung ke Sabah boleh ditawarkan pakej yang menghubungkan mereka dengan destinasi di Malaysia, Indonesia, Thailand dan India, manakala kempen promosi bersama boleh menggabungkan beberapa destinasi dalam satu pakej pelancongan.
“Kerjasama antara negara dan destinasi dapat membantu meningkatkan jumlah ketibaan pelancong serta mewujudkan pelbagai pengalaman pelancongan,” ujarnya.
Andi turut menegaskan bahawa sektor pelancongan membawa manfaat lebih luas daripada sekadar peningkatan jumlah pelawat termasuk merangsang aktiviti ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta menjana pendapatan untuk masyarakat tempatan.
Beliau mengalu-alukan penganjuran program lawatan suai kenal (familiarisation trip) sambil berkata Sabah masih mempunyai banyak destinasi yang wajar diberikan lebih banyak pendedahan.
“Walaupun Kota Kinabalu dan Kundasang merupakan antara destinasi popular, kawasan lain seperti Semporna dan Lahad Datu turut mempunyai potensi pelancongan yang besar, termasuk tarikan marin, hutan yang masih terpelihara dan hidupan liar.
“Saya amat menyokong program seperti ini dan berharap pengendali pelancongan antarabangsa dapat terus menganjurkan lawatan seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.
Andi memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif yang mempromosikan tarikan pelancongan dan kebudayaan Sabah.
Beliau berkata agensi seperti Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah serta agensi lain di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri boleh membantu pengendali dalam menganjurkan program berkaitan pelancongan.
Kayworld International Family Trip 2026 menghimpunkan peserta dari Indonesia, Thailand, India dan Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada pemain industri memperkukuh hubungan serta meneroka potensi kerjasama.






