Industri pembinaan perlu bergerak seiring ledakan pusat data

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 3:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Industri pembinaan perlu bergerak seiring ledakan pusat data

KUALA LUMPUR – Industri pembinaan negara perlu memastikan standard, amalan pembinaan, kemahiran, rantaian bekalan dan keupayaan profesional berkembang seiring dengan kepesatan pembangunan pusat data di Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertumbuhan sektor berkenaan bukan sekadar perlu dilihat daripada jumlah pelaburan atau kapasiti yang berjaya dibangunkan, sebaliknya nilai jangka panjang yang dapat diwujudkan kepada industri dan pemain tempatan.

Menurutnya, kemasukan pelaburan berskala besar dalam sektor pusat data perlu turut memperkukuh keupayaan jurutera, kontraktor, pengilang, penyedia teknologi, pakar penyelenggaraan, firma profesional serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Cabaran sebenar adalah sama ada standard, amalan pembinaan, kemahiran, rantaian bekalan dan keupayaan profesional kita mampu bergerak seiring dengan pertumbuhan ini.

“Malaysia sudah membina kapasiti infrastruktur digital yang signifikan dan tugas kita seterusnya adalah membangunkan keupayaan berkekalan di sekelilingnya,” katanya ketika berucap pada Simposium Teknikal IEM – CDL Academy 2026 di sini hari ini.

Sebelum ini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan Malaysia merekodkan RM385.7 bilion pelaburan berkaitan pusat data dari 2021 hingga separuh pertama 2026, manakala kira-kira 4.6 gigawatt (GW) kapasiti dilaporkan sedang dirancang atau dalam pembinaan.

Alexander berkata, perkembangan itu turut menuntut sektor pembinaan bergerak ke arah kaedah lebih produktif menerusi penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), pembinaan modular, prafabrikasi, Design for Manufacturing and Assembly (DfMA) serta Building Information Modelling (BIM).

Menurutnya, pendekatan tersebut dapat membantu mengurangkan kerja berulang, memperbaiki koordinasi dan kualiti selain menggunakan masa serta sumber dengan lebih cekap.

Dalam pada itu, Alexander berkata, perkembangan pusat data yang pesat turut membawa cabaran daripada segi keperluan tenaga dan bekalan air yang tinggi.

Katanya, kerajaan kini meneliti strategi bagi memastikan kapasiti kedua-dua sumber itu dapat berkembang seiring permintaan pusat data tanpa menjejaskan keperluan pengguna lain.

“Apabila pusat data datang dengan permintaan yang besar untuk penggunaan tenaga dan air, kerajaan sekarang sedang melihat strategi bagaimana untuk memperluaskan pembangunan tenaga dan bekalan air.

“Ekonomi kita tidak boleh hanya bergantung kepada pusat data. Walaupun kita tahu pusat data penting dan boleh membantu banyak, kita juga tidak boleh mengorbankan industri lain yang telah membangunkan ekonomi kita selama ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post Industri pembinaan perlu bergerak seiring ledakan pusat data appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved