amree24/09/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — Perkembangan pesat industri pusat data (DC) di Johor terus membuka peluang kepada syarikat kejuruteraan tempatan dengan HE Group Berhad meraih subkontrak bernilai kira-kira RM124 juta bagi kerja elektrik utama sebuah pusat data di negeri itu.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, tender berkenan diperoleh menerusi anak syarikatnya, Hexatech Engineering Sdn Bhd, yang menerima subkontrak daripada sebuah syarikat pengurusan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPCM) pada 23 September 2026.
Skop kerja berkenaan meliputi pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrik utama bagi projek DC tersebut, sekali gus mengukuhkan pendedahan kumpulan itu kepada pembangunan infrastruktur digital yang semakin berkembang pesat di Johor.
"Nilai subkontrak yang diperoleh itu adalah kira-kira RM124 juta, namun pelaksanaan projek berkenaan masih lagi tertakluk kepada sebarang perubahan, penambahan atau pengurangan kerja mengikut terma ditetapkan kontrak," jelas kenyataan HE Group.
Syarikat tersebut menambah, tarikh permulaan kontrak terbaharu itu adalah pada tarikh penerimaan kontrak subkontraktor, manakala projek berkenaan dijadualkan perlu disiapkan anak syarikatnya itu menjelang 27 Mac 2028.
Ujar kumpulan tersebut, tender berkenaan diberikan oleh sebuah syarikat EPCM persendirian yang diperbadankan di Malaysia dan dimiliki asing, dengan kepakaran dalam sektor pembinaan, kejuruteraan awam serta minyak dan gas (O&G) luar pesisir.

HE Group bagaimanapun turut menyatakan, tiada sebarang risiko besar yang boleh dijangka berkaitan dengan kontrak tersebut selain daripada risiko operasi biasa sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
"Dari segi kewangan pula, kontrak tersebut dijangka dapat memberi sumbangan yang positif kepada pendapatan masa depan kumpulan ini, tanpa memberi apa-apa kesan kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama syarikat," katanya.
Penerimaan kontrak ini turut mencerminkan peluang yang terus tersedia kepada pemain kejuruteraan dan elektrik susulan pertumbuhan ekosistem DC di Johor memerlukan infrastruktur bekalan elektrik serta sistem sokongan kompleks dengan berkapasiti tinggi.
Pada masa sama, HE Group menegaskan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam subkontrak berkenaan.
Lembaga pengarah menyifatkan kontrak itu sebagai sebahagian daripada urusan biasa perniagaan dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham. Kontrak tersebut dijangka menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan sehingga projek disiapkan pada Mac 2028. - DagangNews.com






