Industri perladangan perlu segera beralih kepada teknologi tangani kos operasi dan kekurangan pekerja – Noraini

LocalTechnology
2 Nov 2026 • 9:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Industri perladangan perlu segera beralih kepada teknologi tangani kos operasi dan kekurangan pekerja – Noraini Image from: Industri perladangan perlu segera beralih kepada teknologi tangani kos operasi dan kekurangan pekerja – Noraini amree02/11/2026 - 09:55 NORAINI Ahamd berucap pada sambutan ulang tahun ke-95 Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA) di Petaling Jaya, Selangor. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov — Industri perladangan negara perlu mempercepatkan penggunaan teknologi, automomasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani peningkatan kos operasi, kekurangan tenaga kerja serta persaingan pasaran global yang semakin sengit.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pengusaha ladang tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah operasi konvensional, khususnya ketika berdepan cabaran ladang yang semakin berusia dan keperluan pasaran yang terus berubah.

 

Beliau berkata, penanaman semula perlu dipergiat bagi memastikan hasil tanaman kekal pada tahap baik, selain mengekalkan produktiviti ladang dalam jangka panjang.

 

"Bagaimanapun, usaha ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dengan pemain industri memandangkan proses penanaman semula melibatkan pembiayaan besar, tempoh masa panjang dan perancangan teliti," katanya.

 

Berucap pada sambutan ulang tahun ke-95 Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA), Noraini turut menekankan kepentingan aspek kelestarian susulan peningkatan tuntutan pembeli antarabangsa terhadap ketelusan sumber dan proses pengeluaran produk perladangan.

 

Katanya, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi asas penting untuk memperkukuh piawaian industri serta memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

 

Norani Ahmad_DagangNews2026
NORAINI Ahmad (kanan) menerima cenderamata pada sambutan ulang tahun ke-95 Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA) di Petaling Jaya, Selangor.

 

Beliau berkata, kelestarian tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai peningkatan kos, sebaliknya mampu membantu industri mengekalkan daya saing dan meningkatkan keyakinan pembeli sekiranya dilaksanakan dengan berkesan.

 

"Dalam aspek teknologi, penggunaan mekanisasi, peralatan digital dan AI berpotensi meningkatkan hasil ladang, mengurangkan pembaziran, mengawal kos serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja," jelas Noraini.

 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengusaha supaya tidak menggunakan teknologi hanya kerana mahu dilihat moden, sebaliknya setiap penyelesaian perlu memberikan manfaat praktikal dan terbukti meningkatkan kecekapan operasi ladang.

 

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemilik estet bekerjasama dengan kementerian, agensi penyelidikan dan penyedia teknologi bagi menguji serta mengenal pasti penyelesaian yang sesuai dengan keperluan operasi sebenar.

 

Noraini turut mengenal pasti akses kepada pembiayaan sebagai antara cabaran utama pengusaha estet untuk melaksanakan penanaman semula, inisiatif kelestarian dan pelaburan teknologi.

 

Pada masa sama Noraini menegaskan usaha memodenkan sektor itu perlu turut meningkatkan keadaan pekerjaan serta menarik minat generasi muda menyertai industri perladangan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved