amree02/11/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Syarikat yang masih bergantung kepada pekerja asing berisiko tidak mendapat kelulusan pembaharuan lesen sekiranya mahu menjalankan kegiatan perniagaan sama atau hampir sama dengan operasi syarikat sedia ada, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu bertujuan mengawal pertambahan pekerja asing selain memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada rakyat tempatan sendiri.
Beliau menambah, Malaysia pada ketika ini sudah mempunyai kira-kira 2.6 juta pekerja asing, namun jumlah itu masih belum menunjukkan penurunan seperti yang disasarkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah kebergantungan syarikat yang sudah beroperasi di negara ini sejak 10 hingga 20 tahun lalu terhadap penggunaan tenaga kerja asing," jelasnya ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri), dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Johari berkata, struktur pengambilan pekerja dalam industri juga menunjukkan ketidakseimbangan apabila sebahagian besar sektor masih lagi bergantung tinggi kepada pekerja asing, berbanding tenaga kerja tempatan.
Beliau berkata, keadaan itu perlu diperbetulkan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, khususnya lebih 400,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mempunyai kemahiran memenuhi keperluan industri.

Bagaimanapun, katanya, sesetengah syarikat masih menawarkan gaji kepada graduan TVET pada kadar sama seperti pekerja asing, sekali gus menyebabkan pekerjaan berkenaan kurang menarik kepada tenaga kerja tempatan.
"Walaupun kerajaan telah menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,700, terdapat majikan yang masih menawarkan kadar sama kepada pekerja berkelulusan TVET tanpa mengambil kira kemahiran dan kelayakan mereka," jelas Johari.
Selain isu gaji, beliau berkata, terdapat juga graduan TVET yang ditempatkan di kawasan penginapan pekerja asing, manakala mereka perlu membayar sewa tambahan sekiranya memilih untuk tinggal di tempat lain.
Beliau menyifatkan beberapa isu berkenaan berpunca daripada dasar dan peraturan yang terlalu fleksibel sehingga menyukarkan usaha mengurangkan kebergantungan industri terhadap pekerja asing.
Sehubungan itu ujar Johari, MITI bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberi penjelasan kepada pemain industri bahawa pengambilan pekerja asing masih dibenarkan, tetapi perlu dihadkan kepada pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor (3D).
“Jika syarikat masih mahu mengambil pekerja asing, boleh, tetapi hanya untuk pekerjaan 3D. Bagi pekerjaan lain, majikan perlu membayar gaji yang bersesuaian,” tegas beliau. - DagangNews.com






