Samsung Mempertimbangkan Pengenalan Kontrak Multi-Tahun Untuk Menangani Isu Harga Memori

TechnologyBusiness & Finance
18 Mar 2026 • 3:43 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Harga komponen-komponen memori dan storan dilihat telah meningkat secara mendadak sejak pertengahan tahun lepas dan sehingga kini, tidak menunjukkan bukti bahawa ia akan menurun, membolehkan bukan sahaja pengguna untuk membina PC dan membeli peranti pintar baru pada harga munasabah, tetapi dilihat mendatangkan masalah kepada banyak sektor industri lain juga.

CEO-bersama Samsung Electronics, Jun Young-hyun mengatakan bahawa permintaan untuk komponen cip memori dan storan dijangka akan meningkat lagi pada tahun ini, khususnya kerana permintaan komponen tersebut untuk menguasakan pusat data AI dilihat masih sangat tinggi. Jangkaan pihak Samsung Electronics ialah permintaan tinggi ini akan berterusan sehingga tahun 2030.

image is not available

Malah, Samsung sendiri juga telah mula membangunkan cip HBM4 baru khusus untuk digunakan bersama supercomputer NVIDIA Vera Rubin akan datang.

Untuk menyelesaikan masalah kapasiti komponen memori ini, Young-hyun mengatakan bahawa Samsung Electronics akan memperkenalkan tempoh kontrak baharu untuk sejumlah klien-klien mereka yang mempunyai tempoh lebih panjang. Dari kontrak yang perlu diperbaharui setiap suku tahunan ataupun setiap tahun, kontrak baru ini akan hadir dengan tempoh tiga sehingga lima tahun untuk memastikan bahawa mereka mendapat bekalan komponen memori yang mencukupi.

Ini bermakna bahawa walaupun tanda harga komponen cip memori semakin meningkat, harga komponen tersebut akan dikekalkan pada harga yang dipersetujui. Untuk Samsung, ia juga membantu syarikat tersebut untuk mengekalkan keuntungan sekiranya “buih” sektor AI pecah dan permintaan untuk kapasiti pemprosesan tersebut menurun dengan mendadak.