hamden05/05/2026 - 11:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Mei – Industronics Bhd kini diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) selepas juruaudit mengeluarkan penafian pendapat terhadap penyata kewangan teraudit bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan ia telah mencetuskan kriteria di bawah Perenggan 8.04 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama serta Peraturan 2.1(d) PN17 susulan isu audit yang belum diselesaikan dalam penyata kewangan terkini.
Pelan pemulihan wajib dikemukakan
Sebagai syarikat terjejas PN17, ITRONIC diwajibkan mengemukakan pelan regularisasi kepada Bursa Securities serta mendapatkan kelulusan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman.
Syarikat juga perlu melantik penaja berdaftar dalam tempoh tiga bulan serta mengekalkannya sekurang-kurangnya sehingga ia tidak lagi diklasifikasikan sebagai PN17.
Selain itu, pelaksanaan pelan pemulihan perlu disiapkan dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan, atau sehingga 12 bulan jika melibatkan prosiding mahkamah.
ITRONIC turut diwajibkan melaporkan status pelan pemulihan secara bulanan, mengumumkan sebarang ketidakpatuhan secara serta-merta serta mematuhi arahan tambahan daripada Bursa Malaysia dari semasa ke semasa.
Risiko penggantungan dan penyahsenaraian
Bursa Malaysia turut menegaskan kegagalan mematuhi keperluan tersebut boleh menyebabkan penggantungan dagangan pada hari pasaran ke-6 selepas notifikasi dikeluarkan, sebelum berpotensi disusuli penyahsenaraian.
Namun, syarikat masih mempunyai hak untuk membuat rayuan dalam tempoh lima hari pasaran selepas notis penyahsenaraian dikeluarkan.
Syarikat sedang rangka pelan pemulihan
Sementara itu dalam pemakluman seterusnya, Lembaga Pengarah ITRONIC memaklumkan syarikat masih dalam proses merangka Pelan Regularisasi bagi menangani keadaan kewangannya dan Syarikat akan membuat pengumuman yang diperlukan berkaitan perkembangan perkara tersebut.
Syarikat mempunyai tempoh kira-kira dua belas (12) bulan untuk mengemukakan Pelan Regularisasi kepada pihak berkuasa berkaitan untuk kelulusan. - DagangNews.com





