PUTRAJAYA - Inflasi Kesihatan meningkat 3.0 peratus pada 2025 berbanding 1.3 peratus pada 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa peningkatan itu didorong oleh kategori Perkhidmatan Kesihatan, yang mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 4.4 peratus berbanding 0.9 peratus pada 2024, yang disumbangkan oleh kelas perbelanjaan Insurans berkaitan kesihatan yang meningkat sebanyak 9.1 peratus pada 2025 (2024: 0.0%).
Selain itu, kategori Ubat-ubatan yang mewakili wajaran terbesar, menyumbang sebanyak 38.9 peratus dalam Indeks Harga Kesihatan (HPI), mencatatkan peningkatan 2.8 peratus pada 2025 berbanding 2.2 peratus pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini didorong oleh kelas perbelanjaan Ubat-ubatan, yang merangkumi subkelas perbelanjaan Ubat-ubatan, vaksin dan sediaan farmaseutikal lain, serta Ubat-ubatan herba dan produk homeopati.
"Kedua-dua subkelas ini, masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus pada 2025 berbanding 2.2 peratus dan 0.7 peratus pada 2024,” menurut DOSM dalam kenyataan laporan Indeks Harga Kesihatan Tahunan 2025, yang diterbitkan hari ini.
Laporan ini menyediakan Indeks Harga Kesihatan (HPI) (2022=100) dan Inflasi Kesihatan yang mengambil kira aspek rawatan dan pencegahan penjagaan kesihatan merangkumi tiga kategori, iaitu Ubat-ubatan, Peranti Perubatan dan Perkhidmatan Kesihatan pada peringkat kebangsaan.
DOSM telah mengeluarkan HPI buat kali pertama, membentangkan penemuan terperinci susulan penerbitan Laporan Awalan Indeks Harga Kesihatan Malaysia 2025 pada Julai 2026. Statistik ini mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan yang dibeli oleh isi rumah.
Pembangunan HPI merupakan inisiatif DOSM, dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan kesihatan daripada sektor awam dan swasta, serta melalui integrasi data dari pelbagai sumber.
Sementara itu, menurut laporan DOSM itu kategori Peranti Perubatan turut meningkat 1.1 peratus (2024: 0.6%) didorong oleh kelas perbelanjaan produk Perubatan, 1.3 peratus (2024: 0.6%).
Peningkatan itu disumbangkan oleh subkelas perbelanjaan produk diagnostik Perubatan, yang mencatatkan peningkatan 1.6 peratus berbanding 0.3 peratus pada 2024.
Penyusunan HPI Malaysia menggabungkan komponen berkaitan kesihatan daripada tiga kumpulan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP/CPI), iaitu kumpulan Kesihatan, kumpulan Insurans dan Perkhidmatan Kewangan, dan kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial serta Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan.
HPI melengkapi penunjuk inflasi berkaitan kesihatan dan membantu kerajaan, pihak berkepentingan dan orang awam, mengenal pasti trend dalam pergerakan kos penjagaan kesihatan, sekali gus menyokong perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang lebih berkesan dalam sektor penjagaan kesihatan. - Bernama






