
PUTRAJAYA, 10 NOV: Inflasi kesihatan negara meningkat kepada 3.0 peratus pada 2025 berbanding 1.3 peratus pada tahun sebelumnya, didorong kenaikan harga perkhidmatan kesihatan sebanyak 4.4 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan itu ketara berbanding 0.9 peratus yang direkodkan kategori Perkhidmatan Kesihatan pada 2024.
Menurut DOSM, kenaikan tersebut disumbangkan kelas perbelanjaan insurans berkaitan kesihatan yang meningkat 9.1 peratus pada 2025 berbanding tiada perubahan pada tahun sebelumnya.
Dalam laporan Indeks Harga Kesihatan (IHK) Tahunan 2025 yang diterbitkan hari ini, DOSM memaklumkan kategori Ubat turut mencatatkan peningkatan 2.8 peratus berbanding 2.2 peratus pada 2024.
Kategori berkenaan menyumbang wajaran terbesar dalam IHK iaitu 38.9 peratus, dengan kenaikan dipacu subkelas ubat-ubatan, vaksin dan penyediaan farmaseutikal lain serta ubat-ubatan herba dan produk homeopati.
Kedua-dua subkelas itu masing-masing meningkat 4.5 peratus pada 2025 berbanding 2.2 peratus dan 0.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, kategori Peralatan Kesihatan merekodkan peningkatan 1.1 peratus berbanding 0.6 peratus pada 2024, didorong kelas perbelanjaan Produk Perubatan yang naik 1.3 peratus.
DOSM berkata, kenaikan itu turut disumbangkan subkelas Produk Diagnostik Perubatan yang mencatatkan peningkatan 1.6 peratus berbanding 0.3 peratus pada tahun sebelumnya.
Untuk rekod, IHK mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan berkaitan kesihatan yang dibelanjakan isi rumah, merangkumi tiga kategori utama iaitu Ubat, Peralatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kesihatan.
Penerbitan IHK Tahunan 2025 itu merupakan laporan terperinci pertama DOSM selepas Laporan Awalan Indeks Harga Kesihatan Malaysia 2025 diterbitkan pada Julai lalu.






