
KUALA LUMPUR 22 Dis – Inflasi Malaysia meningkat 1.4% pada November 2025 dengan indeks harga pengguna (IHP) merekodkan 135.1 mata indeks berbanding 133.3 pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan inflasi tersebut didorong terutamanya oleh kenaikan harga dalam kumpulan pendidikan yang meningkat 2.6% berbanding 2.4% pada Oktober 2025, Minuman Alkohol dan Tembakau sebanyak 2.4% (Oktober 2025: 0.3%) serta Pengangkutan yang mencatatkan pertumbuhan 0.2% berbanding susut 0.1% pada bulan sebelumnya.
Pada masa sama, beberapa kumpulan perbelanjaan merekodkan peningkatan yang lebih perlahan, antaranya Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan serta Perkhidmatan yang meningkat 5.6% berbanding 6.0% pada Oktober 2025.
Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula mencatatkan inflasi 0.7% berbanding 1.1% sebelum ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 61.1% atau 350 daripada 573 item dalam IHP merekodkan kenaikan harga pada November 2025.
“Namun begitu, hampir keseluruhan item berkenaan mencatatkan peningkatan sederhana iaitu kurang atau sama dengan 10%.
“Kumpulan Makanan dan Minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.5%, kekal pada kadar yang sama seperti Oktober 2025.
“Sub kumpulan Makanan di luar rumah pula meningkat lebih perlahan kepada 2.8% berbanding 2.9% pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Inflasi Makanan di rumah meningkat secara marginal sebanyak 0.1% berbanding sifar % pada Oktober 2025, disumbangkan oleh kenaikan harga ikan dan makanan laut lain, minyak dan lemak, buah-buahan serta daging.
Bagaimanapun, harga sayur-sayuran terus mencatatkan penurunan ketara sebanyak 6.1%.
Bagi kelas perbelanjaan daging, inflasi meningkat kepada 0.7% pada November 2025 berbanding susut 0.7% pada Oktober, didorong oleh kenaikan harga daging khinzir dan kambing tempatan.
Harga ayam segar turut meningkat kepada 1.4% dengan purata harga ayam standard Malaysia mencecah RM10.57 sekilogram.
Inflasi Minuman Alkohol dan Tembakau pula melonjak ketara kepada 2.4% susulan pelaksanaan kenaikan duti eksais rokok bermula November 2025 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Dalam kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain, inflasi disederhanakan oleh penurunan berterusan dalam subkumpulan elektrik, gas dan bahan api yang berada pada jajaran negatif 10.3%, dipengaruhi oleh pengemaskinian kadar Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
Bagi Pengangkutan, inflasi meningkat kepada 0.2%, disokong oleh kenaikan kos perkhidmatan pengangkutan awam dan pembelian kenderaan, meskipun sebahagiannya diimbangi oleh penurunan kos pengurusan kenderaan persendirian.
Dari segi harga bahan api, purata harga RON97 meningkat kepada RM3.24 seliter manakala harga RON95 naik kepada RM2.63 seliter, berbanding harga subsidi RM1.99 seliter.
Harga diesel di Semenanjung Malaysia pula meningkat kepada RM3.05 seliter.
Di peringkat negeri, empat negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional 1.4%, iaitu Johor dan Negeri Sembilan masing-masing 1.9%, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1.7% dan Selangor 1.6%.
Kelantan merekodkan inflasi terendah pada 0.2%.
Secara bulanan, inflasi keseluruhan tidak mencatatkan sebarang peningkatan berbanding Oktober 2025, dengan kenaikan dalam beberapa kumpulan perbelanjaan diimbangi oleh penurunan dalam Maklumat dan Komunikasi serta Perumahan dan utiliti.
Dalam perbandingan serantau, kadar inflasi Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam, Indonesia dan Republik Korea, namun lebih tinggi berbanding China dan Thailand. - DagangNews.com
