Inflasi rendah tidak bermakna kos sara hidup menurun, Indeks Harga Pengguna tidak gambarkan keseluruhan keadaan

LocalBusiness & Finance
9 Nov 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Inflasi rendah tidak bermakna kos sara hidup menurun, Indeks Harga Pengguna tidak gambarkan keseluruhan keadaan Image from: Inflasi rendah tidak bermakna kos sara hidup menurun, Indeks Harga Pengguna tidak gambarkan keseluruhan keadaan johardy09/11/2026 - 15:50

KUALA LUMPUR 9 Nov - Walaupun inflasi Malaysia berada pada tahap sederhana, trend penurunannya tidak semestinya membawa kepada kos sara hidup yang lebih rendah bagi isi rumah, menunjukkan perbezaan antara perubahan harga barangan pengguna dengan kemampuan sebenar isi rumah mendapatkan barangan keperluan harian.

 

Indeks Harga Pengguna (IHP), ukuran utama inflasi negara, mengukur perubahan purata harga sekumpulan barangan dan perkhidmatan. Bagaimanapun, indeks itu tidak semestinya mencerminkan perbezaan corak perbelanjaan, tahap pendapatan dan komitmen kewangan setiap isi rumah.

 

Ini menjelaskan mengapa rakyat Malaysia mungkin masih berdepan tekanan kewangan walaupun angka inflasi rasmi menunjukkan kenaikan harga semakin perlahan.

 

Dalam artikel bertajuk ‘Di Sebalik Angka Rasmi: Inflasi dari Perspektif Isi Rumah’ yang diterbitkan dalam Laporan Tahunan 2025 pada awal tahun ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa inflasi mengukur pertumbuhan harga dan bukannya tahap harga, lapor Bernama.

 

Inflasi keseluruhan Malaysia mencatatkan purata 1.4% pada 2025, paras terendah dalam tempoh lima tahun, namun bank pusat menyedari kos sara hidup yang tinggi masih menjadi kebimbangan utama bagi sebahagian besar isi rumah.

 

Pengalaman harian membentuk persepsi inflasi

Inflasi mencatatkan purata 1.8% dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, dengan inflasi teras berada pada paras 2%.

 

Menurut BNM, perbezaan itu sebahagiannya berpunca daripada pengalaman isi rumah terhadap perubahan harga, terutama melalui barangan yang kerap dibeli seperti makanan dan minuman, yang cenderung mempunyai pengaruh besar terhadap persepsi mereka mengenai inflasi.

 

Dua faktor mempengaruhi persepsi isi rumah. Pertama ialah bias kekerapan, apabila barangan seperti makanan ruji dan minuman yang lazim dibeli memberikan kesan lebih besar terhadap tanggapan mereka mengenai inflasi.

 

Bagi mencerminkan realiti ini dengan lebih baik, pakar ekonomi menggunakan penunjuk seperti Indeks Harga Harian (EPI), yang memberikan wajaran lebih besar kepada barangan yang sering dibeli dalam IHP.

 

Dengan menekankan pembelian seperti ini, EPI merekodkan perubahan harga yang lebih mencerminkan pengalaman harian isi rumah.

 

Kedua, tanggapan isi rumah turut dibentuk oleh cara perubahan harga diingati.

 

Kenaikan harga lebih kekal dalam ingatan

“Kenaikan harga cenderung meninggalkan kesan yang lebih mendalam dan berkekalan berbanding penurunan harga, meskipun apabila kedua-duanya berlaku.

 

“Corak tingkah laku ini, yang dikenali sebagai bias ingatan, direkodkan melalui Indeks Harga Tanggapan (PePI),” menurut BNM.

 

PePI adalah sama seperti EPI tetapi hanya merangkumi barangan yang mencatatkan kenaikan harga, pada masa sama mengecualikan barangan yang mengalami penurunan harga.

 

Oleh itu, PePI lazimnya menunjukkan kadar inflasi lebih tinggi berbanding IHP dan EPI, sekali gus mencerminkan tanggapan bahawa kenaikan harga meninggalkan kesan lebih ketara kepada isi rumah.

 

Menurut bank pusat, selain ukuran inflasi, isu lebih asas ialah sama ada pendapatan isi rumah meningkat secukupnya untuk mengimbangi kenaikan harga terkumpul.

 

Analisis BNM menunjukkan bahawa dari 2019 hingga 2024, IHP keseluruhan meningkat sebanyak 9.3%, manakala upah nominal bagi setiap pekerja hanya naik 7.2%.

 

Kuasa beli menjadi isu utama

“Dengan kata lain, pekerja perlu bekerja lebih lama untuk mampu membeli jumlah barangan yang sama.

 

“Perkara ini jelas dapat dilihat dari segi makanan apabila harga makanan meningkat lebih pantas berbanding pendapatan pada tahun-tahun kebelakangan ini. Isi rumah kini perlu bekerja lebih lama hanya untuk menampung perbelanjaan makanan harian lazim mereka,” menurutnya.

 

Sebagai bank pusat, antara matlamat utama BNM ialah memastikan kadar inflasi yang rendah dan stabil.

 

“Ini penting kerana harga yang stabil dan dapat dijangka membolehkan isi rumah dan perniagaan merancang perbelanjaan, simpanan dan pelaburan mereka dengan lebih baik. Ini seterusnya akan membantu menyokong aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

 

“Bagaimanapun, pemeliharaan kuasa beli isi rumah bukan sahaja bergantung pada harga tetapi juga pendapatan. Yang penting, apabila kenaikan harga berlaku secara perlahan dan boleh dijangka, isi rumah dapat mengekalkan kuasa beli mereka selagi pendapatan meningkat seiring dengan harga,” menurutnya.

 

Dalam keadaan demikian, inflasi yang stabil memberikan masa untuk penyelarasan pendapatan, sekali gus membantu isi rumah menghadapi harga lebih tinggi serta merancang perbelanjaan dengan lebih yakin.

 

Lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi diperlukan

Langkah berkaitan pendapatan terkini seperti semakan gaji minimum telah membantu meringankan beban lebih lima juta pekerja di Malaysia.

 

Namun, menurut BNM, pembaharuan struktur yang lebih mendalam perlu dilaksanakan bagi menangani punca kelembapan pertumbuhan pendapatan di Malaysia dalam jangka panjang.

 

“Pertama, lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi perlu diwujudkan.

 

“Pada 2025, pekerjaan berkemahiran tinggi cuma merangkumi 26% daripada jawatan baharu yang diwujudkan, lebih rendah berbanding purata 30% dalam tempoh lima tahun iaitu 2020 hingga 2024,” menurutnya.

 

Ini mencerminkan keperluan memacu peralihan Malaysia ke arah industri bernilai tambah tinggi, memperkukuh penggunaan teknologi serta meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik.

 

Sehubungan itu, inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) bertujuan menarik pelaburan berkualiti lebih tinggi, menggalakkan pengeluaran intensif teknologi serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Menangani kos sara hidup melangkaui kawalan inflasi

Walaupun mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil adalah penting, langkah menangani cabaran kos sara hidup memerlukan pendekatan dasar lebih menyeluruh, meliputi aspek perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan pendapatan.

 

“Dasar monetari sahaja tidak mampu memelihara kuasa beli kerana kesejahteraan isi rumah juga dipengaruhi oleh pertumbuhan pendapatan, produktiviti dan trend kos sara hidup yang lebih luas.

 

“Walaupun inflasi berada pada tahap sederhana, banyak isi rumah terus bergelut dengan kos sara hidup yang lebih tinggi dalam keadaan pertumbuhan pendapatan yang perlahan,” menurut bank pusat.

 

Bagi memastikan taraf hidup lebih baik dan mengukuhkan kuasa beli, pertumbuhan pendapatan hendaklah melebihi kenaikan harga.

 

Apabila perbelanjaan meningkat lebih pantas daripada pendapatan, kenaikan harga yang kecil pun mungkin dirasakan besar oleh isi rumah, sekali gus membentuk tanggapan tentang kos sara hidup serta pandangan terhadap keadaan ekonomi secara keseluruhan.

 

“Akhirnya, pengukuhan kuasa beli isi rumah memerlukan strategi dasar yang menyeluruh dan terselaras,” menurutnya.

 

Gaji minimum dan bantuan bersasar

Langkah kerajaan menaikkan gaji, termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 dalam Belanjawan 2027 berbanding RM1,700 sebelum ini, memberikan sedikit kelegaan kepada pekerja, walaupun peningkatan taraf hidup berterusan bergantung pada pertumbuhan gaji dan produktiviti yang lebih menyeluruh.

 

Kadar minimum baharu itu akan berkuat kuasa mulai Jun 2027 dan memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

 

Menurut BNM, ini memerlukan dasar monetari yang dilengkapi sokongan fiskal bersasar untuk kumpulan mudah terjejas serta pelaksanaan pembaharuan struktur yang meningkatkan pendapatan dan produktiviti.

 

Dalam Belanjawan 2027, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas kepada hampir 13 juta rakyat Malaysia, termasuk kumpulan M40.

 

Setakat 22 Oktober, sebanyak RM3.6 bilion telah disalurkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) melalui tiga fasa pembayaran. Secara keseluruhan, hampir RM12 bilion bantuan STR dan SARA telah disalurkan kepada penerima yang layak.

 

Peruntukan STR dan SARA akan ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027, dengan bantuan bulanan SARA dinaikkan kepada RM150 atau RM1,800 setahun.

 

“Dengan menangani kedua-dua aspek harga dan pendapatan, pembuat dasar dapat memelihara kuasa beli serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk tempoh jangka panjang,” menurut BNM.

 

Oleh itu, kadar inflasi yang rendah mungkin menunjukkan kenaikan harga terkawal, namun peningkatan taraf hidup yang bermakna hanya dapat dirasai apabila pendapatan isi rumah meningkat secukupnya untuk memulihkan dan memperkukuh kuasa beli. - BERNAMA

 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved