Infomina dan Geolytik perkenal ValuationXchange, platform penilaian hartanah digital pertama di Malaysia

18/07/2025 - 16:25
Kerjasama Infomina dan Geolytik percepatkan pendigitalan proses penilaian dan pembiayaan hartanah di Malaysia. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Julai – Infomina Berhad hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Geolytik Tech Sdn Bhd menerusi penubuhan syarikat usaha sama, Infomina Geolytik Sdn Bhd, yang bertujuan mempercepat pendigitalan proses penilaian dan pembiayaan hartanah di Malaysia.
Kerjasama ini menampilkan pelancaran ValuationXchange, platform digital pertama penilaian hartanah yang diiktiraf industri dan disokong oleh PEPS Ventures Berhad iaitu segmen komersial milik penuh Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Hartanah dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS Malaysia).
ValuationXchange dibangunkan untuk memastikan pematuhan kepada Piawaian Penilaian Malaysia (MVS), sekali gus mewujudkan persekitaran digital yang telus, selamat dan bebas manipulasi nilai sepanjang proses kelulusan pinjaman hartanah.
Platform ini kini boleh diakses oleh penilai hartanah, agensi harta tanah dan institusi kewangan bagi memperkemas proses penilaian dan kelulusan pinjaman secara digital dan bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Infomina Berhad, Yee Chee Meng berkata, platform ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan pasaran terhadap ketelusan dan kecekapan lebih tinggi dalam proses penilaian hartanah yang turut memberi kesan kepada keputusan pembiayaan.
“ValuationXchange menggabungkan penilai hartanah, ejen dan bank dalam satu ekosistem digital yang lancar membolehkan hasil yang lebih pantas, tepat dan patuh piawaian.
“Menerusi platform ini, agensi hartanah dapat mengesahkan kelayakan pembeli rumah terlebih dahulu sebelum dokumen dihantar ke institusi kewangan, sekali gus mengurangkan kadar penolakan pinjaman dan mempercepatkan proses kelulusan.
“Pembeli boleh mendapat kepastian lebih awal manakala pihak bank beroleh manfaat daripada kualiti permohonan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara ciri utama ValuationXchange termasuklah aliran kerja penilaian hartanah yang didigitalkan sepenuhnya, pematuhan kepada Piawaian Penilaian Malaysia (MVS) selaras dengan piawaian pengurusan risiko teknologi.
Tambahnya, kelebihan lain ialah kolaborasi masa nyata antara penilai dan bank dengan jejak audit boleh disahkan, infrastuktur digital selamat bertaraf perbankan oleh Infomina yang selari dengan agenda Bank Negara Malaysia bagi transformasi digital dalam sektor kewangan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Geolytik Tech, Joe Thor berkata, Infomina Geolytik kini dalam proses menyepadukan firma penilaian, agensi hartanah dan institusi kewangan di seluruh negara.
“Kedudukannya di antara teknologi kewangan (fintech), teknologi hartanah (proptech) dan infrastruktur perusahaan menjadikannya strategi penting dalam memodenkan segmen pasaran yang selama ini kurang diberi perhatian.
“Kerjasama ini menyatukan kekuatan Geolytik dalam data hartanah dengan infrastruktur selamat Infomina untuk menangani isu lama dalam pasaran, memperkukuh kepercayaan dan mempertingkat ketepatan keputusan dalam ekosistem hartanah,” katanya.- DagangNews.com
standard
