Ingat Malaysia ‘cap ayam’, legenda Pakistan pertikai kemenangan Speedy Tigers

27 Sep 2026 • 6:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ingat Malaysia ‘cap ayam’, legenda Pakistan pertikai kemenangan Speedy Tigers

PETALING JAYA – Kemenangan skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers 5-4 ke atas Pakistan dalam saingan Sukan Asia 2026 mengundang perhatian lagenda hoki negara itu, Imran Butt.

Menerusi hantaran di media sosial, Imran mengakui kemenangan dan kekalahan adalah sebahagian daripada permainan, namun mempersoalkan bagaimana Pakistan boleh dibolosi lima gol oleh Malaysia.

“Keprihatinan saya ialah Malaysia menjaringkan lima gol menentang kami. Itu satu tanda tanya besar.

“Menjaringkan lima gol menentang Malaysia tidak boleh diterima,” katanya.

Imran turut menyifatkan Pakistan masih ketinggalan berbanding pasukan Eropah dan beberapa pasukan terbaik Asia, sebelum mendoakan kejayaan pasukannya menentang India pada peringkat separuh akhir.

Hantaran berkenaan bagaimanapun mendapat perhatian netizen Malaysia yang mempertikaikan pandangan tersebut, malah ada yang mengingatkan bahawa Malaysia bukan pasukan yang boleh dipandang rendah.

Seorang pengguna, Alemonix Halem berkata berdasarkan ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia merupakan antara pasukan Asia yang berada dalam kelompok teratas.

“Bukankah Malaysia salah satu pasukan terbaik Asia? Jangan merendahkan lawan kerana menganggap mereka tidak setaraf dengan anda,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Abi Ariq Raisya Nayla pula berkata kekuatan Malaysia sejak sedekad lalu adalah setanding dengan Pakistan dan beberapa pasukan Asia lain.

“Kami bukan pasukan yang lemah sehingga dianggap lawan tidak layak untuk pasukan anda,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Hasnandi M Jennis turut menyifatkan agak mengejutkan apabila Pakistan gagal memanfaatkan beberapa peluang pukulan sudut penalti yang diperoleh.

Sementara itu, Vivek Pal pula mengakui Malaysia merupakan antara pasukan hoki Asia yang kuat dan pernah menewaskan India dalam beberapa pertemuan.

Kemenangan 5-4 itu menyaksikan Speedy Tigers mencuri tumpuan selepas menampilkan aksi sengit ketika berdepan Pakistan dalam saingan tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Ingat Malaysia ‘cap ayam’, legenda Pakistan pertikai kemenangan Speedy Tigers appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved